[kenyataan akhbar SUARAM caw. Johor Bahru pada 17 October 2008]
Perobohan haram menghentam Kampung Baru Plentong Tengah, Johor Bahru pagi ini (17/10/2008) secara keras, di mana penduduk-penduduk kampung secara berorganisasi bersama-sama mempertahankan rumah halaman mereka dan mengakibatkan seramai 27 orang ditahan polis. Mereka yang ditahan termasuk penduduk kampung dan aktivis masyarakat, semuanya telah dihantar ke Balai Polis Johor Jaya. Setelah pengambilan kenyataan, mereka dibebaskan jam lebih kurang 7:35pm.
Kira-kira 500 penduduk mulai berkumpul di jalan masuk ke kampung pada pukul 7:30 pagi untuk menghalang jentolak pemaju yang akan membinasakan rumah kediaman mereka. Penduduk-penduduk duduk dan mengadakan benteng manusia di jalan masuk dengan memegang tangan antara satu sama lain semata-mata untuk melindungi dan mempertahankan hak mereka. Namun demikian, anggota polis bersama dengan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah mengheret dan menahan mereka secara keras, akibatnya sesetengah mengalami kecederaan.
Kira-kira 100 anggota polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan 200 lagi anggota polis yang beruniform, kira-kira berjumlah seramai 500 pegawai polis. Pada jam lebih kurang 10:30 pagi, seramai 27 penduduk kampung yang setia mempertahankan halaman berserta aktivis masyarakat ditahan. Antaranya termasuk setiausaha JKB KBPT Saudara Taslim Nani, Koordinator dan ahli SUARAM caw. JB Nyam Kee Han dan See Siew Min, ahli jawatankuasa pusat PSM Saudara Choo Shinn Chei dan lain-lain lagi.
Perobohan yang berlaku adalah haram, salah di sisi undang-undang dan satu tindakan yang telah menghina mahkamah. Penduduk kampung telah mengfailkan satu injuksi (injunction) di Mahkamah Tinggi Johor Bahru sebelum ini. Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 10 October 2008 telah menangguhkan kes perbicaraan perobohan pada 29 Oktober 2008. Dengan erti kata lain, pemaju tidak boleh melakukan sebarang perobohan mahupun pengusiran paksa sebelum kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Tindakan pihak polis kali ini yang menggunakan jumlah kakitangan pegawai polis yang segitu ramai dan bertindak secara keras dan ganas terhadap penduduk dalam kejadian perobohan ini tidak boleh diterima sama sekali. Penduduk kampung hanya ingin melindungi perumahan mereka sahaja. Pihak polis yang seharusnya berpendirian neutral, menjaga keamanan dan keselamatan rakyat telah bertindak sebaliknya; kekerasan digunakan oleh anggota-anggota polis dan FRU sehinggakan ada sebilangan penduduk tercedera.
Kami membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak polis yang tidak profesional dan memihak kepada pemaju. Kejadian ini telah memperlihatkan bahawa penyalahgunaan kuasa oleh polis telah mencapai satu tahap yang sangat serius. Ketidak-profesionalan pihak polis jelas terserlah apabila pintu besar Balai Polis Johor Jaya ditutup rapat setelah mereka yang ditahan tiba di sana. Semua yang prihatin terhadap kes perobohan dan penahanan ini termasuk peguam-peguam dilarang masuk ke dalam balai polis tersebut sama sekali. Ekoran itu menyebabkan penduduk dan masyarakat yang prihatin keatas isu ini terpaksa berdiri di bawah matahari yang cerah dan panas. Tindakan ini jelas bahawa PDRM, terutamanya pihak polis negeri Johor adalah tidak professional.
Kami menyeru agar Perdana Menteri kita, Datuk Seri Abdullah Badawi, menghormati dan menuruti cadangan untuk menubuhkan Independent Police Complaint and Misconduct Commission (IPCMC) daripada Jawatankuasa Inquiry Diraja Polis dengan segera. IPCMC yang ditubuhkan akan secara berkesan menjadi unit pemantauan pihak polis dan memastikan penyalahgunaan kuasa polis tidak berlaku lagi, yang seterusnya akan menjadikan unit penguatkuasaan ini satu unit penguatkuasa yang menjaga keamanan negara dan melindungi hak rakyat secara telus.
0 comments:
Post a Comment