Kisah Perayaan Penting Golongan Pekerja
Asal-usul Hari Pekerja Sedunia Mei Satu
Pengarang : 顽石(Wan Shi)
Penterjemah : Yong Siew Lee / Ang Pei Shan
Hari Pekerja Sedunia Mei Satu merupakan Hari Pekerja bagi kebanyakan negara. Ia berasal daripada pemogokan besar-besaran pekerja di Chicago Amerika Syarikat yang berlaku pada 1 Mei 1886, dan merupakan satu perayaan penting yang dikongsi bersama oleh golongan pekerja seluruh dunia.
Ramai rakyat Malaysia mungkin sudah lupa tentang asal-usul serta makna Hari Pekerja Sedunia Mei Satu, terutamanya golongan muda. Mereka mungkin langsung tidak tahu, mungkin tahu serba sedikit, atau mungkin hanya ingat bahawa Mei Satu sekadar satu hari cuti yang dapat beristirehat, makan minum atau bersuka ria sahaja.
Demi mengingatkan orang ramai tentang asal-usul Hari Pekerja Sedunia Mei Satu, demi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap makna Hari Pekerja, demi menggerakkan program Hari Pekerja Sedunia Mei Satu anjuran bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Johor 2011, kami telah memilih artikel yang bertajuk “Asal-usul Mei Satu” ini yang dipaparkan dalam majalah “Oasis” edisi pertama, terbitan dwibulan oleh Persatuan Bahasa Cina Universiti Singapura, untuk dijadikan bahan bacaan atau rujukan.
Berikut merupakan artikel penuh yang diterjemah dari Bahasa Cina.
-Sekretariat Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM Johor
Asal-usul “Mei Satu”
Mana-mana satu hari peringatan merupakan hari yang penuh dengan harapan dan hari yang penuh dengan penderitaan, kerana kemenangan yang masih kita kenangi biasanya dicapai melalui perjuangan dan kesengsaraan. Hari peringatan “Mei Satu” juga tidak dikecualikan.
Hari Pekerja Sedunia “Mei Satu”merupakan satu hari peringatan tentang kemenangan perjuangan pekerja untuk masa bekerja 8 jam sehari. Hari tersebut turut melambangkan mobilisasi kaum pekerja yang besar-besaran untuk menentang dunia kolot, untuk membantah segala aktiviti pemusnahan dan penindasan manusia. Hari inilah berjuta-juta kaum pekerja bersatu dan berjuang untuk membebaskan diri daripada kelaparan, kemiskinan dan penghinaan. Hari ini berasal daripada resolusi yang diluluskan oleh 8 organisasi pekerja antarabangsa dan nasional di Amerika Syarikat dan Kanada dalam kongres yang diadakan di Chicago Amerika Syarikat pada 7 Oktober 1885, untuk melancarkan perjuangan “masa kerja 8 jam sehari”. Mereka turut memutuskan untuk melancarkan publisiti yang menyeluruh dan mengadakan pemogokan besar-besaran untuk memperjuangkan dengan golongan kapitalis demi perlaksanaan polisi masa bekerja 8 jam sehari pada 1 Mei 1886.
Perjuangan Golongan Pekerja Memendekkan Waktu Bekerja Sebelum Peristiwa “Mei Satu”
Di bawah sistem kapitalisme, salah satu cara penindasan yang kejam golongan kapitalis terhadap pekerja adalah memanjangkan waktu bekerja (over-time yang popular pada masa kini juga salah satu caranya). Waktu bekerja adalah lebih kurang 18 jam sehari ataupun lebih pada tahap awal pembangunan kapitalisme.
Pemanjangan waktu bekerja secara tidak terhad oleh golongan kapitalis pasti akan membawa kepada bantahan keras golongan pekerja. Perjuangan sedemikian paling awal berlaku dalam industri tekstil di Amerika Syarikat. Oleh kerana perjuangan sedemikian bermula dalam industri moden, maka ia turut berlaku di tempat kelahiran industri moden, iaitu England.
Di Britain, setelah perjuangan yang lama kaum pekerja dengan kapitalis, parlimen Britain akhirnya meluluskan satu akta industri yang tidak sempurna pada tahun 1802 (akta industri yang benar-benar menetapkan hari dan waktu bekerja piawaian hanya diumumkan pada tahun 1883). Akta ini menetapkan masa bekerja 15 jam sehari dan waktu bekerja buruh kanak-kanak tidak melebihi 12 jam sehari. Namun begitu, akta ini seakan-akan satu kertas kosong kerana para kapitalis langsung tidak mematuhinya. Mereka berfikir sedaya-upaya cara untuk memanjangkan waktu bekerja termasuk memeras waktu makan dan waktu rehat pekerja.
Seiringan dengan pembangunan kapitalisme, penindasan kapitalis terhadap pekerja makin hari makin kejam. Pada masa yang sama, perjuangan pekerja untuk mengurangkan waktu bekerja juga makin hari makin sengit. Akibatnya, pihak berkuasa di Amerika Syarikat terpaksa meluluskan dan mengumumkan akta kilang pada tahun 1844, 1847 dan 1850 untuk menetapkan waktu bekerja 12 dan 10 jam sehari.
Negara-negara Barat mula melangkau ke tahap pembangunan kapitalisme yang baru dari 1870an hingga 1880an. Revolusi industri di Britain dan Perancis telahpun selesai pada masa tersebut. Manakala revolusi industri di negara-negara lain di Eropah berkembang dengan pesat dan hampir selesai. Sistem kapitalisme mula mencapai status pemerintah di negara-negara Barat. Konflik dalaman sistem kapitalisme semakin menonjol dan tercetusnya krisis terlebih produksi. Oleh yang demikian, percanggahan kelas semakin mendalam dan terus menyebabkan perjuangan kaum pekerja yang lebih sengit di Britain, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat. Peluang untuk menuntut penetapan polisi masa bekerja 8 jam sehari turut bertambah matang.
Sampai pertengahan abad ke-19, percanggahan utama antara kapitalis dengan kaum pekerja masih mengenai masalah waktu bekerja. Pekerja-pekerja menuntut agar mengurangkan waktu bekerja daripada 10 jam kepada 9 jam sehari. Pekerja pembinaan, pekerja membina mesin, pekerja penenunan (tekstil) dan pekerja lombong arang tidak henti-henti melancarkan perjuangan besar-besaran dari tahun 1850 hingga tahun 1880 untuk menuntut agar tuntutan waktu bekerja 9 jam sehari ditunaikan. Pada 1 Mac 1834, pekerja-pekerja tekstil yang kuat berjuang di Britain telah memanggil untuk mengadakan satu “Pemogokan Umum” menuntut waktu bekerja 8 jam sehari, tetapi gerakan ini menghadapi tekanan dan halangan yang kuat. Gerakan ini berlaku jauh lebih awal daripada pemogokan untuk menuntut waktu bekerja 8 jam sehari di Amerika Syarikat yang berlaku pada tahun 1886.
Pada tahun 1866 (20 tahun sebelum peristiwa Mei Satu), kaum pekerja di Amerika Syarikat pernah mengemukakan tuntutan mereka kepada Presiden Amerika Syarikat agar meimplementasikan polisi waktu bekerja 8 jam, tetapi tidak mendapat apa-apa keputusan positif. Dua tahun kemudian, iaitu pada tahun 1868, kaum pekerja di Amerika Syarikat sekali lagi mengutarakan tuntutan 8 jam waktu bekerja kepada kerajaan melalui organisasi pekerja sendiri. Parlimen Amerika Syarikat terpaksa meluluskan polisi di mana pekerja-pekerja yang digaji oleh kerajaan persekutuan hanya bekerja 8 jam sehari sahaja. Namun demikian, dalam pelaksanaan akta ini, setiap bahagian dalam kerajaan persekutuan turut mengurangkan gaji pekerja atas alasan waktu bekerja telah dipendekkan. Manakala pekerja-pekerja di bawah kapitalis masih lagi bekerja sekurang-kurangnya 12 jam sehari. Beberapa tahun kemudiannya, pekerja-pekerja di Amerika Syarikat sekali lagi mengutarakan tuntutan agar tidak mengurangkan gaji mereka, tetapi keputusannya masih mengecewakan. Setelah belajar daripada beberapa pengajaran sebegitu, para pekerja di Amerika Syarikat telah melihat dengan jelas bahawa kerajaan adalah wakil kapitalis dan keinginan mereka untuk kehidupan dan keadaan kerja yang lebih baik tidak mungkin akan tercapai melalui harapan dan tuntutan. Mereka mempelajari bahawa matlamat mereka hanya boleh dicapai melalui pelancaran aksi yang sebenar terhadap kapitalis melalui kuasa mereka sendiri.
Perjuangan Pemogokan pada 1 Mei 1986
Sejak keputusan dibuat dalam kongres di Chicago pada 7 Oktober 1884 untuk melancarkan pemogokan demi memperjuangkan perlaksanaan polisi waktu bekerja 8 jam sehari, ia segera mendapat sokongan dan sambutan yang meluas di kalangan kaum pekerja.
Beribu-ribu pekerja telah menyertai perjuangan ini di Chicago, New York, Cincinnati, Baltimore, Boston, Pittsburgh, St Louis, Washington dan bandar-bandar yang lain. Mereka dengan tegasnya menyumpah untuk menjadikan 1 Mei 1886 sebagai tarikh akhir untuk majikan menunaikan tuntutan masa bekerja 8 jam sehari, sekiranya majikan tidak bersetuju, mereka akan terus mogok dan tidak akan bekerja lebih daripada 8 jam mulai hari tersebut.
Semangat perpaduan dan perjuangan para pekerja yang tinggi telah memaksa kebanyakan kapitalis tunduk kepada tuntutan pekerja sebelum Mei Satu.
Pada hari 1 Mei 1886, lebih kurang 350 ribu pekerja daripada sebelas ribu unit di semua bandar perindustrian di Amerika Syarikat telah menyertai pemogokan yang diorganisasikan oleh Federasi Buruh Amerika. Mereka turun ke jalan raya dan mengadakan demonstrasi untuk menuntut masa kerja 8 jam sehari. Ramai pekerja menyanyikan lagu yang dicipta sendiri: “Kami ingin mengubah dunia ini … …” sambil bergerak ke hadapan. ‘New York Herald’ merekodkan keadaan pada masa tersebut: “Lautan pekerja meluru keluar dari pusat kesatuan sekerja, pasukan perarakan telah menyebabkan kesesakan jalan raya, dan mendapat sorakan yang hangat.” Seramai 40 ribu orang menyertai perarakan di Chicago. Di New York pula, seramai 25 ribu pekerja-pekerja pelbagai bidang mengadakan perarakan obor dan berlalu Jalan Broadway di pusat bandar secara besar-besaran. 3 ribu pekerja membuat roti telah berarak di hadapan pasukan perarakan, ini telah menunjukkan kesedaran ramai pekerja separuh atau tidak mahir juga semakin meningkat.
Para pekerja telah menyanyi dalam lagu mereka:
“Setiap pekerja,
Selepas hari ini,
Boleh tidak bekerja melebihi 8 jam!
Kerja 8 jam!
Rehat 8 jam!
Didikan 8 jam!”
Berdasarkan statistik, lebih daripada separuh pekerja yang menyertai pemogokan tersebut telah berjaya memperjuangkan waktu bekerja 8 jam sehari. Namun, pemogokan pekerja di Chicago pula ditindas dengan zalim dan berdarah.
Pada hari yang sama, pekerja di Chicago telah mengadakan pemogokan Federasi Buruh Amerika, pengangkutan keretapi di seluruh bandar telah dihentikan, kebanyakan kilang tidak beroperasi, semua gudang telah ditutup dan ditampalkan segel, kebanyakan industri di Chicago dalam keadaan lumpuh. Tiada asap dapat dilihat dari cerobong asap kilang dan industri yang tinggi, semua tempat menjadi sunyi sepi. Golongan pemerintah menjadi cemas dan takut. Mereka mengumpulkan persatuan dan samseng untuk mematahkan pemogokan dan mengarahkan pasukan polis dan perisik untuk menjalankan penindasan yang zalim ke atas pekerja mogok. Pekerja-pekerja mogok dari kilang pengeluaran alat penanaman MC Cormick telah mengalami penindasan yang paling teruk. Mereka telah mula pemogokan sejak bulan Februari, majikan kilang telah mengupah 300 lebih pasukan bersenjata untuk berkonfrontasi dengan pekerja-pekerja mogok tersebut.
Pada pagi 3 Mei, pekerja-pekerja mogok telah berkumpul di kilang MC Cormick dan mengadakan perhimpunan orang ramai. Apabila Spies (seorang sosialis) dan pemimpin pekerja, Parsons, berceramah di hadapan para pekerja yang berkumpul, pihak polis datang mengacau dan menimbulkan ketidakpuasan para pekerja. Pihak polis menembak ke arah orang ramai, beberapa pekerja yang mogok yang tidak bersenjata telah ditembak mati dan ramai orang dan kanak-kanak telah dicederakan. Perkara ini telah menimbulkan kemarahan para pekerja.
Para pekerja yang memberang telah membuat keputusan untuk mengadakan mesyuarat beramai-ramai pada malam yang seterusnya, berkabung untuk pekerja-pekerja yang mati serta protes terhadap kelakuan zalim kerajaan yang mencabuli hak asasi manusia.
Sehelai risalah menyeru bahawa: “Balas dendam! Para pekerja! Bersenjatakan! Membalas dendam untuk rakan-rakan seperjuangan yang dianiayai!”
Pada pukul 7 petang, 4 Mei, 3 ribu pekerja di Chicago mengadakan protes di Haymarket dengan hati yang sedih, mereka berkabung untuk rakan seperjuangan yang telah dibunuh. Hampir pukul 10 malam, awan tebal dan rendah, seolah-olah hujan lebat akan menjelang. Semasa perhimpunan dekat tamat, hampir dua pertiga orang sudah bersurai, tinggal beberapa ratus orang sahaja. Pada masa itu, 180 orang daripada pasukan pejuang polis yang bersenjata berat telah masuk ke tempat perhimpunan dan menyuraikan perhimpunan secara paksa. Sementara pengerusi majlis protes tentang perbuatan polis yang keji tersebut,penyabot yang bersembunyi dalam tempat perhimpunan telah meledakkan sebuah bom ke arah polis dan menyebabkan seorang pegawai polis dan empat orang pekerja terbunuh, maka polis terus melepaskan tembakan ke arah pekerja-pekerja yang berhimpun. Tembakan polis telah membunuh beberapa orang dan mencederakan 200 lebih orang.
Pelbagai tanda kemudian telah menunjukkan bahawa orang yang melemparkan bom merupakan Rudolph Schnaufelt, seorang anarkis yang diupah oleh pihak polis. Kejadian Haymarket adalah muslihat yang dirancang oleh golongan kapitalis, untuk melemahkan dan menumpaskan gerakan pekerja yang berjuang demi masa bekerja 8 jam sehari. Mereka melakukan penganiayaan yang kejam terhadap pekerja yang mogok dan menangkap seramai beratus-ratus orang, termasuk Albert Parsons, August Spies, Samnel Fielden, Michael Schwab, Adolph Fischer, George Engel, Louis Lings, Oscar Neebe dan pemimpin pemogokan yang lain.
Pada 17 Mei, mereka dituduh oleh pihak polis atas kesalahan mengakibatkan kematian anggota polis daripada lemparan bom. Namun demikian perbicaraan yang dijalankan bukan sahaja tidak mengikuti prosedur yang sah, malah bukti dakwaan juga tidak mencukupi dan terdapat kesangsian pemalsuan. Di samping itu kumpulan juri terdiri daripada ketua dan penyelia kilang daripada empat kilang utama. Segala hujah yang dikemukakan oleh terdakwa dan peguam terdakwa turut diendahkan oleh hakim.
Di samping itu, golongan kapitalis juga mengambil kesempatan untuk memfitnah dan melemparkan tuduhan bahawa para pekerja yang memperjuangkan masa bekerja 8 jam sebagai "pengebom." Prosekutor berkata dengan penuh rasa permusuhan: "Tuan-tuan juri, sila jatuhkan hukuman ke atas mereka supaya memberi amaran kepada seluruh masyarakat. Gantung matilah para pemberontak ini untuk menyelamatkan sistem kita dan masyarakat kita."
Pada 20 Ogos, Neebe dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun, manakala ketujuh-tujuh pejuang yang lain telah dijatuhkan hukuman mati.
Dalam proses perbicaraan, para pekerja Chicago telah menonjolkan keberanian dan semangat perjuangan mereka yang tabah. Di mahkamah, mereka menuduh bahawa pihak berkuasa reaksioner telah merancang kejadian Haymarket untuk melupuskan gerakan pekerja serta menganiayai pemimpin gerakan pekerja, tetapi mereka juga menekankan bahawa muslihat tersebut tidak akan berjaya. Apabila mengemukakan bantahannya terhadap keputusan mahkamah , Spies merujukkan dirinya sebagai “wakil daripada satu golongan masyarakat berdialog dengan wakil daripada satu golongan masyarakat yang lain”.
Dia berkata kepada hakim : “Jika Tuan berasa bahawa dengan menggantung kami anda boleh memusnahkan gerakan pekerja — gerakan di mana jutaan pekerja yang dieksploitasi yang hidup dalam kemiskinan dan kesengsaraan mendoakan bahawa nasib malang mereka dapat diubah —maka sila jatuhkan hukuman mati kepada kami. Tuan mungkin boleh memalapkan sekelompok api dengan mudah, namun Tuan tidak akan mampu memadamkan api yang marak berkobar di seluruh pelosok dunia, yang berkobar di depan dan belakang anda, yang datang dari lapisan masyarakat terbawah!” (But, if you think that by hanging us, you can stamp out the labor movement – the movement from which the downtrodden millions, the millions who toil and live in want and misery – the wage slaves – expect salvation – if this is your opinion, then hang us! Here you will tread upon a spark, but there, and there, and behind you and in front of you, and everywhere, flames will blaze up. It is a subterranean fire. You cannot put it out.) Mangsa kejadian ini mengemukakan bantahan kepada Mahkamah Tertinggi Negeri, namun tidak dilayani; seterusnya membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Persekutuan dan turut ditolak atas alasan bahawa mereka tidak berhak untuk menangani kes ini.
Semangat Internasionalisme Pekerja
Setelah keputusan mahkamah diumumkan, pekerja di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia mencetuskan protes besar-besaran. Pekerja-pekerja di New York dan bandar-bandar yang lain telah mengadakan perhimpunan orang ramai, beberapa orang yang terkenal di Amerika Syarikat telah mengkritik bahawa kes ini adalah kes yang paling tiada keadilan dalam sejarah Amerika Syarikat. Berpuluh-puluh demonstrasi telah diadakan oleh pekerja British, untuk memberi sokongan kepada pekerja-pekerja di Amerika Syarikat. Di Perancis, Belanda, Russia, Itali dan Sepanyol, pekerja-pekerja telah mengadakan demonstrasi berturut-turutan. Banyak surat sokongan kepada Chicago telah dikirim ke Amerika Syarikat. Akan tetapi, kerajaan negeri Illinois tetap tidak menghirau dan berpegang keras dengan keputusan yang telah dibuat.
Setelah mengalami kes perjuangan Chicago ini dan merasai tindakan zalim golongan pemerintah, para pekerja kian memahami bahawa sasaran sebenar golongan kapitalis Amerika Syarikat ialah pasukan pekerja yang berorganisasi. Kesedaran para pekerja semakin meningkat. Mereka terus mengadakan perhimpunan ramai dan mengadakan kempen tandatangan untuk menyokong pekerja Chicago. Ramai pekerja turut menyumbangkan gaji tipis mereka untuk menyokong pekerja-pekerja di Chicago.
Tetapi, kerajaan negeri Illinois yang reaksioner terus mengabaikan pandangan dan suara rakyat seluruh dunia. Pada 11 November 1887, kerajan Illinois telah membunuh Spies, Fischer, Parsons dan Engel. Lings pula meninggal dunia di penjara. Fielden, Schwab dan Neebe telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Semasa menghadapi musuh, mereka telah menunjukkan keberanian dan kegigihan golongan pekerja. Ketika kepala Spies disimpulkan jerat, beliau berkata kepada orang ramai dengan kuat: “Sudah sampai masanya! Sudah sampai masa di mana kesepian kami dalam kubur dapat menarik dan mengharukan lebih ramai orang berbanding dengan ucapan kami.” Ini bermakna, pengorbanan mereka merupakan satu pendidikan hidup-hidup kepada rakyat Amerika Syarikat, dan membolehkan rakyat Amerika Syarikat melihat kezaliman golongan pemerintah reaksioner dengan lebih jelas.
Ayat Parsons yang terakhir ialah : “Biar orang ramai di seluruh dunia mendengar suara rakyat Amerika Syarikat!”
Fischer hanya berusia 24 tahun ketika beliau meninggal dunia, beliau melompat ke atas pentas gantung mati, menjerit dengan kuat bahawa “Ini saat yang paling seronok dalam hidup saya!”
Walaupun sudah tiba saat terakhir sebelum mati, para pejuang ini masih sentiasa berfikir bagaimana untuk meneruskan perjuangan, bagaimana untuk meluaskan pengaruh perjuangan. Nilai-nilai murni dan sikap keberanian yang ada pada para pejuang ini telah menjadi tradisi baik pada para pekerja di Amerika Syarikat.
Pada tahun 1893, di bawah perjuangan berterusan rakyat di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia, dan di depan fakta-fakta yang kukuh, kerajan Illinois terpaksa mengakui bahawa 8 orang pekerja Chicago yang berkorban pada “Mei Satu”, tidak dapat dibuktikan bahawa mereka bersalah (oleh hakim dan juri-juri), mereka adalah korban dari 'hakim-hakim serta para juri yang disuap’. Fielden dan yang lain kemudiannya telah dibebaskan. Pada bulan Jun tahun yang sama, golongan pekerja Amerika Syarikat membina sebuah monumen yang berukir “Mangsa kes Haymarket”. Ini sekali lagi membuktikan kezaliman kerajaan Amerika Syarikat reaksioner yang sanggup membunuh yang tidak bersalah demi menghapuskan gerakan pekerja.
Perjuangan Keadilan Tidak Dapat Dipatahkan
Walaupun pemogokan kali ini dalam bentuknya telah ditumpas keras oleh kerajaan kapitalis yang reaksioner,namun pekerja Amerika telah menimba pengalaman dalam perjuangan tersebut dan menyedari bahawa hak sendiri hanya dapat dituntut sekiranya kita bersatu-padu untuk memperjuangkannya. Walaupun mereka ditindas zalim, mereka tetap memperjuangkan hak masa bekerja 8 jam sehari, ini menyebabkan golongan kapitalis terpaksa beri laluan. Selepas satu bulan, terdapat 200 ribu pekerja Amerika memperolehi hak bekerja 8 jam sehari; selepas dua tahun, lagi 500 ribu pekerja mencapai matlamat perjuangan mereka. Seperti yang diharapkan oleh Parsons,suara rakyat Amerika dengan cepatnya telah dapat didengari oleh seluruh dunia. Dan suara inilah yang telah meningkatkan semangat perjuangan golongan pekerja sedunia. Pada masa itu, golongan pekerja seluruh dunia sedang mengadakan gerakan memendekkan waktu kerja dan memperbaiki kebajikan pekerja.
Pada Julai 1889, Sosialis tiap-tiap negara telah menganjurkan Kongres Organisasi Internasional Kedua (Second International) di Paris. Demi mengenangi perjuangan pekerja Chicago tiga tahun yang lepas, dan demi mengukuhkan perpaduan golongan pekerja di peringkat antarabangsa serta menguji semangat perjuangan golongan pekerja, kongres telah menetapkan Mei Satu sebagai Hari Pekerja. Pearakan demonstrasi besar-besaran di peringkat antarabangsa diadakan pada satu hari yang tetap dan kekal, supaya pekerja-pekerja di tiap-tiap bandar dan negara pada hari yang sama sama-sama menuntut pihak berkuasa mewajibkan kerja 8 jam sehari, dan supaya mereka merealisasikan segala resolusi lain yang diputuskan dalam Kongres Organisasi Internasional Kedua Paris itu.”. Sejak itu, “Mei Satu” telah menjadi Hari Pekerja Sedunia.
Keputusan kongres di Paris bukan sahaja telah memberi impak yang besar kepada seluruh dunia, tetapi ia juga telah menginspirasikan semangat perjuangan di kalangan golongan pekerja, dan ini telah menimbulkan ketakutan dan kerisauan di kalangan kapitalis. Kerajaan kapitalis menggunakan sebarang helah yang kejam untuk memberhentikan perarakan “Mei Satu”oleh golongan pekerja. Walaupun begitu, golongan pekerja seluruh dunia tidak menghiraukan pelbagai halangan dan penindasan dan telah berjaya menganjurkan perayaan pertama kali pada 1 Mei tahun 1890. Negara-negara yang meraikan “Mei Satu”pada masa itu termasuk Jerman, Austria, Itali, Britain, Perancis, Sepanyol, Sweden, Denmark, Norway, Rusia dan lain-lain lagi. Setiap kali hari ini menjelang, golongan pekerja yang mengadakan perhimpunan akan mengalami halangan yang sengit dari pihak pemerintah,namun kesemua ini tidak dapat melemahkan kuasa kuat yang dibentuk oleh para pekerja. Gerakan pekerja sentiasa terus maju dan berkembang. Yang paling penting, semangat yang ada dalam diri mereka adalah segajat.
Asal-usul “Mei Satu”, merupakan sejarah bertitisan darah pekerja dalam memperjuangkan suatu masyarakat yang mulia, dan merupakan suatu teladan baik untuk meneruskan perjuangan. Kita haruslah mengenangi hari yang megah ini selama-lamanya.
0 comments:
Post a Comment