Bagaimana ‘Jawatankuasa Mei Satu’ Malaysia Menyambut ‘Hari Pekerja Sedunia’
(Tahun 1994 – 2010)
Pengarang : Ngo Jian Yee
Penterjemah : Ang Pei Shan
(Tahun 1994 – 2010)
Pengarang : Ngo Jian Yee
Penterjemah : Ang Pei Shan
(Petikan ini disediakan sempena majlis sambutan Hari Pekerja Sedunia Mei 1 yang bertema “Pekerja Berbilang Kaum Seluruh Negara, Bersatu Dari Perpecahan”anjuran Persahabatan Semparuthi, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) Negeri Johor, Pusat Pembangunan Kebudayaan Ling Lian Geok (Jawatankuasa Perhubungan Johor Bahru) dan Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM Negeri Johor yang akan berlangsung pada 1hb Mei 2011, jam 2ptg hingga 6ptg di dewan kuliah Sekolah Menengah Foon Yew, JB. Petikan ini juga akan dimasukkan dalam koleksi artiker yang diterbit oleh penganjur khas untuk majlis ini.)
Mukadimah : Mei Satu - Perayaan kepada Pekerja Sedunia
Hari Pekerja Sedunia Mei Satu, yang jatuh pada 1hb Mei setiap tahun juga dikenali sebagai perayaan Mei Satu. Ia merupakan perayaan megah yang disambut oleh kelas proletariat dan kelas pekerja.
Logo Partai Buruh Malaya |
Di Malaysia, Hari Pekerja Sedunia “Mei Satu” hanya diiktiraf oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1972 dan tidak diumumkan sebagai hari cuti wajib sehingga tahun 1979. Ini dicapai atas perjuangan kesatuan sekerja (terutamanya kesatuan sekerja sayap kiri yang progresif) dan Parti Buruh. Dukacitanya, sehingga kini kerajaan dan majikan masih berasa takut terhadap sambutan Hari Pekerja Sedunia oleh golongan pekerja. Mereka cuba sedaya-upaya untuk mengelirukan golongan pekerja supaya mereka salah menganggap bahawa Hari Pekerja Sedunia sekadar hari cuti untuk beristirehat atau bersuka ria sahaja, dan melupakan bahawa hari yang megah yang signifikan ini sebenarnya melambangkan semangat perjuangan kelas pekerja untuk hak dan kebajikan pekerja.
Dulu ramai pemimpin dan kadre gerakan pekerja ditangkap, ditahan dalam lokap, bahkan dipenjarakan jangka panjang oleh kerajaan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) kerana menyambut Hari Pekerja dan memimpin golongan pekerja untuk memberanikan diri mengutarakan tuntutan mereka. Pengiktirafan Hari Pekerja Mei Satu sebagai hari cuti wajib untuk golongan pekerja negara kita merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan orang dahulu kita.
Oleh demikian, menyambut hari yang megah ini bukan sahaja supaya golongan pekerja dapat mempelajari semangat perjuangan dan perpaduan orang dahulu yang berani berkorban demi menuntut hak dan kebajikan pekerja, malah ia turut menginspirasi dan mendidik golongan pekerja supaya sentiasa bersedia untuk menghadapi eksploitasi dan penindasan golongan pemerintah dan majikan, dan meneruskan perjuangan golongan pekerja terutamanya buruh untuk menuntut hak yang samarata, untuk membina sebuah masyarakat demokrasi tanpa penindasan dan eksploitasi.
Wujud Semula Demonstrasi Orang Ramai di Jalanraya Kuala Lumpur Sejak Operasi Lalang
Semenjak kerajaan menjalankan Operasi Lalang yang represif, selain daripada beberapa kumpulan yang progresif pernah mengadakan sambutan Mei Satu secara sporadis, turut terdapat sebahagian bekas ahli Parti Buruh yang pernah mengadakan jamuan Mei Satu di sesetengah tempat di Semenanjung Malaysia. Antara program-program Mei Satu yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan berlainan di ruang terbuka, program sambutan yang diadakan oleh Jawatankuasa Mei Satu boleh dikatakan mempunyai pendirian yang paling jelas, dan imej yang paling menonjol. Sejak 1994, setiap tahun organisator dan pemimpin program tersebut bertekad untuk menyambut Hari Pekerja Sedunia dengan cara perhimpunan atau perarakan, serta mengemukakan tuntutan rakyat Malaysia melalui pengumuman ‘Deklarasi Mei Satu’. Jawatankuasa ini berharap agar dapat mengingatkan golongan pekerja tentang semangat perjuangan melalui perayaan yang istimewa ini.
Pada 1hb Mei 1994, lebih kurang 3000 orang rakyat lapisan bawah terutamanya pekerja ladang kaum India dan peneroka bandar kaum Melayu (dulu dikenali sebagai “penduduk kawasan setinggan”) telah mengadakan demonstrasi besar-besaran di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Perhimpunan kali ini telah menerobos keganasan putih (white terror) sejak penangkapan 106 orang aktivis dalam Operasi Lalang pada tahun 1987. Rakyat sekali lagi mengemukakan tuntutan mereka melalui perhimpunan orang ramai di jalan raya.
Perhimpunan Mei Satu Anjuran Bersama 3 Organisasi Akar Umbi pada 1994
Orang ramai mendengar pidato pemimpin dengan bersungguh-sungguh. Perhimpunan diadakan dengan teratur. |
Hasrat penganjuran perhimpunan Mei Satu ini bermula daripada kumpulan CDC yang terdiri daripada lebih kurang 20 orang pemuda berpelajaran tinggi berumur antara 25-27 tahun. CDC yang ditubuhkan tidak melebihi 2 tahun pada masa itu telah mengemukakan hasrat mereka kepada kumpulan pekerja ladang lain iaitu People Service Organization (PSO) dan Tholilar Tholar (TT) yang majoriti ahlinya kaum India. CDC ditubuhkan oleh lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1992, di mana ahlinya majoriti terdiri daripada kaum India. Mereka sangat berprihatin dan aktif menyertai perjuangan pekerja ladang terutamanya di sekitar kawasan Ulu Langat Selangor. Cadangan mereka untuk menganjurkan Perhimpunan Mei Satu bukan sahaja tidak mendapat sokongan pertubuhan pekerja ladang yang lebih berepresentasi, malah ada pemimpin pekerja ladang yang berpengalaman telah mengejek dan menyindir mereka sebagai‘amateurish’atau tengah berkhayal.
Walaupun disindir, pemuda-pemudi ini tidak goyah. Mereka terus mencari sekutu yang lain untuk bersama-sama menganjurkan perhimpunan ini. Akhirnya, mereka menjumpa 2 orang bekas ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM) Dr Nasir Hashim (Pengerusi Parti Sosialis Malaysia sekarang dan ADUN Kota Damansara) dan V.Selvam. Mereka berdua terus berjanji untuk memberikan bantuan setelah mendengar cadangan CDC, dan mereka turut berjanji akan memobilasikan Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar (JSPB) untuk turut serta menganjurkan perhimpunan ini. JSPB ditubuhkan oleh Dr Nasir Hashim dan V.Selvam pada 1993 dan bergiat di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur, aktif menyertai perjuangan hak perumahan dan tanah oleh peneroka bandar yang majoriti terdiri daripada kaum Melayu.
Selepas itu, mereka berkunjung ke Ipoh Perak untuk menemui sebuah lagi kumpulan akarumbi ALAIGAL. ALAIGAL ditubuhkan pada tahun 1979 oleh beberapa lepasan Universiti Malaya. Ia juga merupakan sebuah kumpulan yang majoritinya kaum India yang giat menyertai perjuangan pekerja ladang. Mereka aktif di Sg Siput, Ipoh dan beberapa tempat di Perak. ALAIGAL bermaksud ‘Perjuangan yang berterusan’ dalam bahasa Tamil. Usaha CDC tidak disia-siakan kerana akhirnya ALAIGAL turut memutuskan untuk menyertai perhimpunan Mei Satu kali ini.
Pada 1hb Mei 1994 10 pagi, orang ramai dari pelbagai tempat berkumpul di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, memulakan program sambutan Hari Pekerja Sedunia Mei Satu. Walaupun pihak polis telah banyak kali cuba menghalang, perhimpunan aman ini tetap mengadakan protes sepanjang satu jam setengah, dan penganjur mengumumkan program berakhir dengan berjaya. Kejayaan perhimpunan ini telah memberi dorongan kepada kumpulan anjuran bersama dan orang ramai yang menyertainya. Selepas itu, program Mei Satu ini diadakan setiap tahun dengan berjaya. Program kali ini turut menjadi pemangkin kepada penbentukan Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) yang dibentukkan oleh pekerja ladang dari ladang-ladang di Selangor dan Perak.
Jawatankuasa Mei Satu Dibentukkan Secara Rasmi pada 1998
Kumpulan penganjur bersama Program Mei Satu telah bertambah pada 1998 di bawah usaha sepanjang empat tahun oleh 3 kumpulan penganjur asal Program Mei Satu. Program Mei Satu tahun 1998 telah mendapat sokongan banyak pertubuhan bukan kerajaan dan beberapa parti pembangkang utama seperti DAP, PAS, PRM dan pertama kali dinamakan ‘Jawatankuasa Mei Satu 1998’. Nama ‘Jawatankuasa Mei Satu’ dikekalkan sejak itu dengan hanya mengubah tahunnya.
Seramai 1500 orang pekerja berbilang kaum telah menyertai perhimpunan besar yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH).
Penganjur program telah merancangkan program yang menarik, pekerja dari pelbagai sektor telah memberi ucapan yang memberangsangkan. Selain daripada banner besar yang bertuliskan tema program, tuntutan rakyat kita pada masa itu turut dibentangkan di depan para hadirin di bawah iringan gendang dan gong.
Logo Parti Sosialis Malaysia |
Selain daripada 3 parti pembangkang utama yang disebutkan tadi, Jawatankuasa Mei Satu turut mendapat sokongan Parti Sosialis Malaysia yang baru dilahirkan. Sehari sebelum Mei Satu, iaitu 30hb April 1998, parti ini menyerahkan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk menubuhkan Parti Sosialis Malaysia, logo parti merupakan satu genggaman tangan berwarna putih di atas latar belakang logo yang berwarna merah cerah.(Selepas perjuangan sepanjang 10 tahun, PSM akhirnya Berjaya mendaftar pada 2008, dan kini mempunyai seorang Ahli Parlimen dan seorang ADUN).
‘Mei Satu Hitam’ pada 2001
2002 - Barisan perarakan Mei Satu bergerak ke Menara Berkembar Petronas. |
Pihak polis enggan melihat perarakan wujud lagi di jalanraya Kuala Lumpur lalu mereka menumpaskan barisan perarakan secara ganas selepas barisan berarak sepanjang 1.5km. Sekumpulan besar polis di bawah pimpinan ACP Bakri Zinin, Ketua Polis Daerah (KPD) Dang Wangi, telah mematahkan barisan perarakan dengan kekerasan, dan menangkap lebih kurang 20 orang pemimpin dan orang ramai yang menyertai perarakan.
Bakri Zinin yang mengarahkan untuk menumpas peserta demonstrasi |
Pihak polis turut menggunakan kekerasan untuk memaksa peserta program Mei Satu naik ke dalam bas dan memaksa bas meninggalkan kawasan Kuala Lumpur. Sambutan Mei Satu tersebut merupakan kali pertama polis menggunakan kekerasan terhadap program Mei Satu yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Mei Satu. Mereka berniat menghalang supaya program itu tidak dapat dijalankan seperti yang dirancangkan. Mei Satu tahun tersebut digelar sebagai ‘Mei Satu Hitam’ dalam sejarah sambutan Hari Pekerja Sedunia oleh Jawatankuasa Mei Satu.
Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) Pendorong Utama
Logo JERIT |
SUARAM JB, Persahabatan Semparuthi Turut Menganjur Bersama pada 2007
Peserta Mei Satu mempersembahkan satu sketsa tentang asal-usul Mei Satu. |
Seramai 1000 orang menyertai Mei Satu 2007 yang diadakan di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru. |
Tema dan Tempat Sambutan Mei Satu Setiap Tahun Berlainan
Berikut merupakan tempat dan tema program sambutan Mei Satu setiap tahun bermula dari tahun 1994:
1994: Dataran Merdeka Kuala Lumpur
“Hak Untuk Peneroka Bandar dan Pekerja Ladang"
1995 : Jabatan Perdana Menteri
“Sertakan Masyarakat Ladang Dalam Pembangunan Luar Bandar"
1996 : Ladang Bukit Raja Selangor
“Gaji Bulanan Untuk Pekerja Ladang"
1997 : Kampung Chupadak Selangor
“Rakyat Menuntut Keadilan: Gaji, Rumah, Tanah, Harga Barang"
1998 : Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor
“Krisis Ekonomi: Majikan Dibela, Pekerja Ditindas"
1999 : Kampung Sungai Nipah Selangor
“Pekerja Bersatu Menuntut Perubahan Tulen"
2000 : Ladang Stratasila Perak
“Pekerja Menuntut Akta Gaji Minima"
2001 : Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur
“Pembangunan Saksama Untuk Semua"
2002 : Dari Jalan Chow kit ke Menara Berkembar Petronas (dihalang oleh polis dalam separuh perjalanan)
“Kembalikan Hak Pekerja: Kerja, Gaji, Kesatuan"
2003 : Dataran Merdeka Kuala Lumpur
“Perang Kapitalis, Pekerja Merana"
2004 : Jalan Padang Kota Lama Georgetown, Pulau Pinang
“Pekerja Menuntut Demokrasi Sejati"
2005 : Dataran Merdeka Kuala Lumpur
“Globalisasi Menghakis Hak Pekerja, Hentikan Penswastaan Air dan Hospital"
2006 : Perarakan dari Dataran Merdeka Kuala Lumpur ke Menara Petronas
“Pekerja Menentang Penswastaan Air dan Hospital"
2007 : Padang Majlis Bandaraya Johor Bahru, Johor
“50 Tahun Merdeka: Pekerja Masih Dijajah"
2008 : Perarakan dari Dataran Merdeka Kuala Lumpur ke Sekolah Menengah Confucian
“Pekerja Kuasa Perubahan, Laksanakan Janji Pilihanraya"
2009 : Seremban Negeri Sembilan
“Krisis Ekonomi: Selamatkan Pekerja Bukan Kroni"
2010 : Tempat Letak Kereta Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor
“Rakyat Bantah GST–Cukai yang Miskinkan Rakyat"
Peserta Perhimpunan Mei Satu 2010 berkumpul di Tempat Letak Kereta Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor. Temanya ialah ‘Rakyat Bantah GST–Cukai yang Miskinkan Rakyat’. |
Tahun ini, Jawatankuasa sekali lagi merancang untuk mengadakan program Mei Satu di Kuala Lumpur, dengan berarak dari Jalan Chow Kit ke Dataran Merdeka, dan mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka. Wakil dari pelbagai sector akan memberi ucapan dan bersama-sama melaungkan Deklarasi Mei Satu tahun ini. Tema tahun ini ialah ‘Harga Barang Naik, Gaji Bila Lagi? - Pekerja Menuntut Akta Gaji Minima’ Tema ini telah menggambarkan situasi rakyat jelata sebenar di mana harga barang melambung tinggi dan tekanan hidup makin besar. Ia turut menggambarkan tuntutan warga pekerja untuk menaikkan gaji and meningkatkan taraf kehidupan.
Walaupun tema program Mei Satu berlainan dari tahun ke tahun, tetapi prinsip asas Jawatankuasa Mei Satu tetap kekal iaitu menyampaikan suara kaum pekerja terutama golongan yang paling tertindas, tanpa mengira apa perubahan yang telah berlaku dalam masyarakat, tabah memperjuangkan hak dan keperluan asas kehidupan kaum pekerja terutamanya mereka yang miskin papa.
Isu-isu seperti meluluskan Akta Gaji Minima, menggubal undang-undang untuk melindungi kebebasan menubuhkan kesatuan pekerja, menghapuskan cukai yang membebankan pekerja, menghentikan penswastaan perkhidmatan air, kesihatan dan perkhidmatan asas yang lain, mansuhkan akta-akta yang zalim, melindungi pekerjaan dan kehidupan, mengawal inflasi dan lain-lain merupakan tuntutan desak kaum pekerja Malaysia pada masa kini. Golongan pemerintah dan golongan kapitalis besar mesti tidak akan merealisasikan tuntutan rakyat ini. Hasrat yang baik ini hanya akan tercapai sekiranya rakyat dan bangsa yang tertindas bersatu padu untuk memperjuangkannya.
Peserta Program Mei Satu kebanyakannya pekerja kaum India, melambangkan mereka adalah golongan yang paling tertindas pada masa kini. |
0 comments:
Post a Comment