Sunday, June 3, 2012

“Duduk Bantah 428”- Makna Positif dan Petunjuk Mendalam

“Duduk Bantah 428”
- Makna Positif dan Petunjuk Mendalam
Kenyataan Media Jawatankuasa Kerja Sahabat Suaram (FOS) Johor
19 Mei 2012

[Kenyataan ini merupakan terjemahan daripada kenyataan akhbar Bahasa Mandarin FOS Johor yang dikeluarkan pada 19 Mei 2012.]

1. Duduk Bantah 428 adalah Kesinambungan dan Perkembangan daripada Perarakan Tunjuk Perasaan 709

Rakyat Malaysia telah mencipta bab baru dalam sejarah pada 28 April pada tahun ini. Mengikut anggaran BERSIH 2.0, lebih kurang 250,000 peserta dari setiap pelusuk negara telah menggunakan pelbagai cara yang dianggap boleh mengatasi pelbagai halangan dan sekatan pihak polis, untuk hadir ke bandar-bandar utama seluruh negara, terutamanya di ibu negara Kuala Lumpur, dan berkumpul di 6 lokasi sekitar pusat bandaraya KL sambil menunggu arahan dikeluarkan untuk menuju ke tapak perhimpunan yang ditetapkan, iaitu Dataran Merdeka yang amat bersejarah.

Kerajaan Barisan Nasional mengumumkan Dataran Merdeka akan ditutup selama 48 jam sehari sebelum himpunan 428 berlangsung. Kerajaan BN mendapatkan arahan mahkamah bagi mengepung kawasan sekeliling Dataran Merdeka dengan penghadang dan gelung dawai berduri, dan dikawal ketat oleh polis bersenjata bagi menyekat pemimpin BERSIH dan orang ramai daripada melepasi sempadan kawalan; Dalam keadaan kritikal ini, pucuk pimpinan BERSIH dan Himpunan Hijau, dengan berpegang teguh kepada prinsip berpatutan, munasabah dan berdasarkan undang-undang, telah dengan tegas memimpin orang ramai mendekati dan manjalankan duduk bantah di atas jalan-jalan berdekatan dengan Dataran Merdeka, bagi mengemukakan tuntutan segera dan aspirasi rakyat semua kaum dan lapisan kepada kerajaan BN, iaitu “merealisasikan pilihanraya bersih dan adil” dan “menghentikan operasi kilang nadir bumi LYNAS”; Pengerusi bersama BERSIH 2.0 Ambiga mempergunakan kebijaksanaannya, apabila berjaya mengelakkan kekecohan besar-besaran yang mungkin berlaku ekoran daripada tindakan ‘Occupy Dataran’ yang sengaja diprovokasikan oleh pihak tertentu, dengan mengumumkan perhimpunan 428 telah berjaya mencapai tujuan dan meminta peserta bersurai secara aman pada pukul 2.30 petang.

Tahun lepas, 50,000 rakyat mengadakan perarakan tunjuk perasaan 709 di Kuala Lumpur bagi menuntut “8 tuntutan segera reformasi pilihanraya”. Klik (clique) pemerintah BN yang didominasi oleh UMNO di bawah pimpinan Najib, bukan sahaja tidak mengendahkan tuntutan munasabah dan saksama seluruh rakyat ini (iaitu: dalam 22 cadangan reformasi sistem pilihanraya yang dikemukakan oleh Jawatankuasa pilihan khas parlimen yang didominasi oleh BN, hanya tuntutan mengenakan dakwat tidak meluntur sahaja di terima, dan 7 tuntutan lain yang dikemukakan oleh BERSIH 2.0 telah ditolak).

Mereka masih berharap menyambung kedudukan memerintah mereka. Mereka telah memegang pemerintahan Negara ini selama lebih daripada setengah abad dahulu. Melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang diterajuinya secara tidak sah, mereka melancarkan pelbagai perancangan pilihanraya yang kotor, dan memberikan gula-gula pilihanraya yang bertujuan memancing undi. (Dikatakan tidak sah kerana pengerusi dan timbalan pengerusi SPR merupakan ahli UMNO).

Jawatankuasa Pepandu BERSIH 2.0 tiada pilihan selain menggemblengkan tenaga massa untuk sekali lagi melancarkan perjuangan dalam menghadapi keadaan politik ini. Seperti BERSIH 1 dan BERSIH 2.0, bentuk perjuangan kali ini adalah perhimpunan aman. Keputusan telah diambil untuk menganjurkan satu perhimpunan ‘Duduk Bantah’ dan mengemukakan tuntutan segera “SPR mesti meletakkan jawatan” pada 28 April 2012 serentak di 8 bandar utama seluruh negara (termasuk Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu, Pulau Penang, Ipoh dan Johor Bahru) .

Keputusan ini telah diambil oleh Jawatankuasa Pepandu BERSIH 2.0 pada akhir bulan Mac, dan diumumkan secara rasmi pada 4 April. Fokus utama perhimpunan kali ini ialah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Satu arus perjuangan massa yang paling besar dalam sejarah negara kita yang menggerunkan klik (clique) pemerintah BN terjadi, apabila seruan adil ini mendapat sokongan dan sambutan daripada rakyat semua kaum, semua lapisan, semua parti politik dan semua ugama/kepercayaan, dan turut disokong dan mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di luar negara serta demokrat-demokrat luar negara.

Maka, ternyata ‘Duduk Bantah’ 428 merupakan kesinambungan dan perkembangan daripada Perarakan Tunjuk Perasaan 709. Oleh kerana peserta 428 berlipat ganda berbanding dengan himpunan 709, dan telah mencatatkan bilangan peserta yang paling tinggi dalam sejarah perjuangan massa negara kita, kerajaan BN terpaksa sekali lagi menanggalkan topeng samaran demokrasi mereka.

Mereka menimbulkan pertempuran dan kekeliruan kecil antara peserta dengan polis. Polis telah mangambil tindakan ganas terhadap peserta- peserta perhimpunan aman, dan juga terhadap para wartawan yang sedang bertugas, dengan alasan ‘ada pihak yang cuba occupy Dataran Merdeka’. Polis menggunakan gas pemedih mata, pancutan air tekanan tinggi, tembakan peluru getah, tangkapan, pukulan, serangan ganas dan lain-lain.

2. “Duduk Bantah 428” merupakan penggabungan kuasa gerakan sosial yang sangat baik pada masa kini

Mengikut anggaran BERSIH 2.0, jumlah orang ramai yang menyertai perhimpunan “Duduk Bantah 428” telah mencapai 250,000 orang, iaitu penambahan lebih daripada empat kali ganda berbanding dengan bilangan orang ramai yang menyertai “Perarakan Demokrasi 709”. Duduk Bantah 428 merupakan rekod baru dalam sejarah perjuangan massa di Malaysia. Seperti peserta Perarakan Demokrasi 709, rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum (majoritinya kaum Melayu, kaum Cina dan kaum India serta kaum minoriti yang lain), pelbagai lapisan masyarakat (antaranya adalah golongan buruh, petani, penjaja, kumpulan profesional, peniaga, pensyarah dan pelajar institusi pendidikan tinggi, budayawan dan seniman, ahli politik, pesara dan lain-lain), dan penganut pelbagai agama/kepercayaan (antara yang utama adalah penganut agama Islam, Hindu, Buddha, Kristian dan kepercayaan yang lain-lain) telah menyertai Duduk Bantah 428.

Bilangan peserta kaum India (kebanyakannya penganut agama Hindu) jelas berkurangan secara ketara, disebabkan berlakunya perpecahan dalaman yang serius, salah laku kepimpinan dan sesat arah dalam masyarakat kaum India dalam dua tahun yang lepas.

Selain daripada kaum India, bilangan peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum dan pelbagai agama yang sebagainya jelas bertambah secara mendadak. Atas dorongan yang diusahakan oleh pelbagai pertubuhan, parti-parti politik dan pertubuhan agama, peserta-peserta telah bergabung menjadi satu arus massa bersemangat yang cukup memberangsangkan.

Keadaan sebegini menjelaskan bahawa, selepas Perarakan Demokrasi 709, rakyat jelata bukan sahaja telah jelas dengan sikap golongan pemerintah BN yang tidak mengendahkan hasrat rakyat, iaitu “Tunaikan lapan tuntutan, barulah PRU-13”, mereka juga sedar bahawa klik (clique) pemerintah BN pasti berdegil demi meneruskan pemerintahan hegemoni mereka. Dengan lebih melampau, golongan pemerintah BN akan membuat persiapan untuk mengadakan PRU yang lebih kotor, menerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikawal oleh geng mereka.

Rakyat jelata yang telah puas terasa pemerintahan hegemoni BN (dahulunya Perikatan) yang didominasi oleh UMNO, menunggu-nunggu berlakunya satu lagi perjuangan yang lebih besar untuk menunjuk perasaan kepada golongan pemerintah BN selepas Perarakan Demokrasi 709.

Maka, tidak hairanlah bilangan peserta dalam Duduk Bantah 428 meningkat berlipat ganda jika berbanding dengan massa dalam Perarakan Demokrasi 709. Ini juga menandakan bahawa gerakan reformasi sistem pilihanraya yang dilancarkan dan dipimpin oleh BERSIH 2.0 telah maju ke satu tahap perkembangan baru yang lebih luas dan mendalam.

Selain daripada 8 tuntutan reformasi sistem pilihanraya segera yang asal, Duduk Bantah 428 juga mengandungi makna bantahan terhadap kilang nadir bumi LYNAS dan malapetaka alam sekitar sebagainya. Ini disebabkan Duduk Bantah 428 adalah hasil daripada tindakan bersama dua jawatankuasa pimpinan NGO, iaitu BERSIH 2.0 dan Himpunan Hijau, yang membuat penyelarasan antara satu sama lain, walaupun mereka membuat pelancaran masing-masing.

Matlamat BERSIH adalah untuk menuntut sistem pilihanraya yang bersih dan adil, manakala Himpunan Hijau bertindak demi menghalau LYNAS dan menghentikan pengeluaran nadir bumi. Dua tindakan tersebut nampaknya berbeza. Apabila kedua-duanya diselaraskan antara satu sama lain, dengan tepatnya ia membawa pendidikan fahaman politik yang bermaksud “pilihanraya kotor menghasilkan birokrat korup, birokrat korup membawa malapetaka persekitaran”.

Dalam peringkat yang berasingan, kedua-dua seruan tindakan ini telah memperolehi balasan hangat dan sokongan kuat daripada massa pelbagai kaum, lapisan masyarakat, parti politik dan pertubuhan agama. Dengan itu, penggabungan yang rapat telah berlaku di antara dua kuasa gerakan sosial dari dua bidang yang berlainan itu. Penggabungan tersebut berjaya menyempurnakan suatu pelaksanaan perjuangan, yang terus menjadi satu model yang paling baik untuk penggabungan kekuatan gerakan masyarakat dari bidang yang berbeza di negara kita.

3. Pimpinan “tidak berpartisan” (non-partisan) memainkan peranan proaktif dalam menyatupadukan semua rakyat

Kejayaan menjalankan dan menamatkan Duduk Bantah 428 tidak dapat dipisahkan dengan ketegasan Ambiga selaku Pengerusi bersama Bersih 2.0 dalam prinsip pimpinan secara tidak berpartisan dan pendirian bebas dan autonomi NGO, yang harus diambil oleh BERSIH 2.0.

Sebelum tindakan 428, terdengar bahawa ada pihak dalaman BERSIH cuba meminggirkan kedudukan kepimpinan Ambiga, sehingga cuba mengubahkan pendirian bebas dan autonomi yang sedia ada diambil oleh Bersih 2.0. Namun, hasrat dan usaha segelintir orang tersebut akhirnya tidak berhasil. Sekali lagi, Ambiga berjaya memimpin perjuangan Duduk Bantah 428 dengan sifatnya yang tabah, teguh, tenang dan tegas.

Seperti yang ditunjukkan Perarakan Tunjuk Perasaan 709 dan Duduk Bantah 428, pendirian tidak berpartisan dan prinsip yang berasaskan kepentingan rakyat ini, telah dibuktikan bukan sahaja mudah diterima dan dipercayai, dan disambut kalangan rakyat daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat, tetapi juga mendapat kefahaman dan toleransi pihak parti politik dan penganut agama/kepercayaan.


Pimpinan tidak berpartisan yang ditegaskan oleh BERSIH 2.0 dan Himpunan Hijau langsung tidak menolak penyertaan proaktif mana-mana pemimpin dan ahli parti politik dalam persiapan dan tindakan dalam Duduk Bantah 428.


Sebaliknya, ia mengakui usaha dan jasa parti politik yang mempertahankan demokrasi dan hak asasi manusia, untuk menggalakkan pembangunan masyarakat. Tambahan pula, ketegasan prinsip tersebut bertujuan untuk menyatukan majoriti terbesar di kalangan rakyat, melalui menyatupadukan segala kuasa yang boleh disatupadukan. Ambiga pernah menyatakan secara terbuka dalam satu sidang akhbar bahawa, Bersih 2.0 mengalu-alukan mana-mana pemimpin parti politik serta dalam perhimpunan Duduk Bantah 428 dengan identiti warganegara. Secara tidak langsung, ini bermakna, Duduk Bantah 428 mungkin senang dilabel sebagai “politik kepartian” atau “cuba menggulingkan kerajaan” oleh segelintir manusia yang mempunyai niat yang tersembunyi dan klik (clique) pemerintah, sekiranya Duduk Bantah 428 dipimpin oleh mana-mana pemimpin politik. Ini tidak akan memberi apa-apa kebaikan malah kesan buruk kepada BERSIH 2.0.


Dalam perjuangan Duduk Bantah 428, pimpinan “tidak berpartisan” (non-partisan) sudah barang tentu dapat memainkan peranan yang proaktif untuk menchapai perpaduan seluruh rakyat. Dua contoh yang menonjol seperti berikut dapat menjelaskan hal ini.

Contoh yang pertama adalah berkenaan dengan pimpinan pertubuhan masyarakat Cina. Dewan Perhimpunan Cina dari 8 buah negeri telah mengeluarkan kenyataan bersama pada 12 April. Mereka “menyeru orang ramai seluruh negara yang prihatin terhadap isu-isu alam sekitar harus bertindak - dengan sama-sama berhimpun di KLCC Park di Kuala Lumpur pada 28 April, dan menunjukkan keazaman masyarakat madani dengan menolak pencemaran dan malapetaka alam sekitar.”

Kenyataan bersama tersebut telah diendorskan oleh Dewan Perhimpunan Cina dari semua negeri (termasuk KL & Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Perlis, Sarawak, dan Terengganu), melainkan Dewan Perhimpunan Cina dari negeri Pahang, Kedah, Kelantan dan Sabah.

Walaupun kenyataan tersebut tidak menyebut tentang BERSIH 2.0, dan tuntutan untuk mewujudkan sistem pilihanraya yang adil dan bersih, maka seruan tindakannya sebenarnya bukan sahaja merangkumi makna sokongan terus terhadap tuntutan Himpunan Hijau iaitu “Menolak pencemaran alam sekitar, LYNAS berambus” dan menyahut seruan “Duduk Bantah 428”, bahkan juga menyokong tuntutan BERSIH 2.0, iaitu “Tunaikan lapan tuntutan, barulah PRU-13”, dan “SPR Berambus” dan menyahut seruan “Duduk Bantah 428” secara tidak langsung. Ini adalah disebabkan Duduk Bantah 428 merupakan tindakan bersama BERSIH dan Himpunan Hijau. Kedua-dua tindakan tersebut mempunyai hubungan yang rapat dan sukar dipisahkan.

Memandangkan respons di kalangan majoriti masyarakat Cina dan Dewan Perhimpunan Cina di kebanyakan negeri, Pengerusi Gabungan Pertubuhan Cina [Federation of Chinese Associations (FCA)], iaitu Encik Pheng Yin Huah memberitahu media pada 22 April bahawa "Pendirian FCA amat jelas, iaitu membantah pembinaan kilang nadir bumi, dan menuntut sistem pilihanraya yang adil dan bersih.”

“Ia juga merupakan hasrat masyarakat Cina dan rakyat jelata.” Dia menambah lagi, “perlu ditegaskan bahawa, asalkan demokrasi dihormati, keluhuran undang-undang dan perlembagaan negara ditepati, kestabilan negara dan masyarakat tidak terganggu, serta berdasarkan prinsip saling menghormati laluan yang berbeza tetapi pegang terhadap objektif yang sama, FCA menyokong dan menghormati hasrat rakyat dalam apa bentuk sahaja. FCA juga menyeru semua pihak yang lain agar menghormati hasrat rakyat tersebut." (rujuk liputan berita tempatan pada 23 April 2012)

MCA , sebagai salah satu parti komponen utama dalam klik (clique) pemerintah BN, telah melarang sama sekali ahli-ahli mereka daripada menyertai Perhimpunan Perarakan Demokrasi 709 pada tahun lepas (walaupun Perarakan Demokrasi 709 bertukar menjadi Perarakan Tunjuk Perasaan disebabkan penumpasan ganas, Presiden MCA, Dr. Chua Soi Lek dan Timbalan Presiden, Liow Tiong Lai mempertahankan sesetengah tindakan keganasan polis dan kerajaan dengan alasan yang bercanggah dengan fakta sebenar, lalu menjadi bahan jenaka masyarakat). Mereka tidak dapat mencari alasan yang munasabah untuk menentang atau menghalang orang ramai daripada menghadiri “Perhimpunan 428”. Malahan, pada 26hb, mereka membuat pengumuman bahawa tidak membantah ahli-ahlinya daripada menyertai Duduk Bantah 428. Ini mungkin kerana Dr. Chua Soi Lek dan pemimpin-pemimpin lain MCA telah mendapati bahawa tuntutan perhimpunan 428 untuk sistem pilihanraya yang bersih dan adil, serta menentang kilang nadir bumi Lynas, memang merupakan arah kehendak rakyat umum.

Satu contoh lagi adalah Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang mewakili komuniti penganut 5 agama utama dalam negara, telah mengeluarkan kenyataan pada 25 April yang menggesa kerajaan untuk membenarkan BERSIH 2.0 melancarkan Duduk Bantah 428 mengikut rancangan asal. Kenyataan tersebut berbunyi: "pihak polis bertanggungjawab dan berupaya memastikan perhimpunan berlangsung secara aman tanpa sebarang gangguan. Kami menyeru kepada semua untuk bertindak secara bersopan dan martabat." MCCBCHST menyatakan "semua agama menyokong keadilan, kesaksaman, ketelusan, dan tidak bersetuju dengan mana-mana pihak yang menyisihkan orang lain untuk menikmati keutamaan". Mereka berpendapat bahawa "semua orang harus menyokong tuntutan BERSIH untuk mengadakan sistem pilihanraya yang bersih dan adil; tuntutan tersebut selaras dengan nilai-nilai agama secara universal.”

Selain daripada dua contoh disebut di atas, terdapat banyak fakta dan sebab yang menjelaskan bahawa dalam perjuangan ini, kejayaan pelancaran Duduk Bantah 428 adalah berkait rapat dengan kepimpinan tidak berpartisan, yang memainkan peranan proaktif untuk menyatupadukan semua rakyat. Dan juga, disebabkan Ambiga dan sahabat-sahabatnya yang berpegang kuat kepada prinsip berdikari dan autonomi NGO.

4. Kuasa rakyat akhirnya mendedahkan muka pemerintah yang hodoh

Dataran Merdeka merupakan tempat peringatan yang bermakna, kerana di sinilah kemerdekaan Malaya diumumkan pada 31 Ogos 1957, yang menandakan rakyat Malaya membebaskan diri daripada pemerintahan penjajah British. Ini adalah dataran milik rakyat. Lokasinya terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur di mana sangat mudah dicapai. Oleh itu, pihak penganjur JK BERSIH 2.0 memilih Dataran Merdeka supaya paling ramai orang dapat berhimpun untuk menyampaikan keazaman rakyat yang menuntut sistem pilihanraya yang adil dan bersih secara duduk bantah. Selepas seruan tindakan tersebut diumumkan oleh JK BERSIH 2.0 pada 4 April, kerajaan dan pihak polis pada peringkat awalnya bersikap sambil lewa kerana memandang rendah terhadap kesedaran rakyat. Pada saat-saat akhir, mereka semakin bimbang dan serius bersiap sedia, kerana rakyat yang bersedia menyahut seruan BERSIH dan Himpunan Hijau nampaknya begitu ramai sekali.

Antara tindakan yang paling menonjol adalah, pengumuman penutupan Dataran Merdeka selama 48 jam dibuat sehari sebelum perhimpunan. Kawasan sekeliling Dataran Merdeka disekat dengan penghadang dan gelung dawai berduri, dan dikawal ketat oleh polis bersenjata bagi menhalang pemimpin BERSIH dan orang ramai daripada melepasi sempadan kawalan.

Namun, semakin kuat penindasan, semakin kuat tindak balas menentang penindasan. Ini merupakan hukum penindasan dan anti-penindasan. Kerajaan BN dan pihak polis berniat menggunakan segala jentera negara dan ugutan menakut-nakutkan dan menghalang rakyat daripada menyahut seruan adil Duduk Bantah 428.

Akibatnya, pada 28 April, massa yang lebih ramai daripada peserta Perarakan Tunjuk Perasaan 709 (anggaran media massa aliran utama seramai lebih daripada 100 ribu orang, manakala BERSIH menganggar seramai 250 ribu orang) dari setiap pelusuk negara telah berhimpun di Masjid Negara, Jalan Sultan, Masjid India, Pasar Seni, Brickfields dan KLCC masing-masing, dan seterusnya maju ke arah Dataran Merdeka.

Orang ramai menyampaikan mesej “menuntut sistem pilihanraya yang bersih dan adil” dan “LYNAS berambus”, dengan pelbagai cara, umpamanya memaparkan poster, banner, belon, persembahan seni atas jalan raya, menjerit slogan dan lain-lain.

Sekitar jam 2 petang, semua jalan raya di sekililing Dataran Merdeka telah dibanjiri arus massa yang menghadiri perhimpunan tersebut. Kekuatan momentum massa yang begitu besar adalah di luar jangkaan kerajaan dan pihak polis. Akhirnya, mereka tergegar sehingga mereka mengambil tindakan balasan yang baru.

Walaupun duduk bantah itu (ataupun dikatakan perarakan tunjuk perasaan itu) dijalankan secara aman, kesemua massa bertindak mengikut disiplin, dan tidak bersenjata, dan walaupun Pengerusi bersama BERSIH2.0 Ambiga mengumumkan bahawa “tindakan kita sudah mencapai matlamat, bolehlah bersurai secara aman” pada pukul 2.30 petang, pihak polis masih melancarkan serangan ganas dan penumpasan zalim terhadap orang ramai yang sedang bersurai dan pemberita yang bertugas, atas alasan bahawa segelintir peserta yang bertindak secara agresif (rujuk liputan berita berkenaan maklumat selanjutnya).

Tujuan utama pihak polis mengambil tindakan zalim terhadap orang ramai yang duduk bantah (atau berarak tunjuk perasaan) pada peringkat akhir, (kononnya “ada pihak bermotif ‘occupy’ Dataran Merdeka dan menimbulkan kekecohan”), adalah untuk mengalihkan tumpuan rakyat seluruh negara dari yang asalnya fokus terhadap tuntutan sah yang perpatutan, munasabah dan berdasarkan undang-undang, kepada “pertempuran ganas” berpunca dari “terdapat pihak yang berniat menimbulkan kekecohan untuk menggulingkan kerajaan lantikan rakyat” seperti yang disebut oleh Najib.

Kenyataan Najib dan pihak polis pada hari kejadian dan selepas itu, yang mempertahankan tindakan ganas polis berdasarkan kepada: Ada pihak yang melangkaui sekatan polis dan cuba “Occupy Dataran Merdeka” serta “menimbulkan huru hara dengan niat untuk menggulingkan kerajaan” selepas Ambiga mengumumkan perhimpunan bersurai secara aman. Adakah hujah tersebut tepat? Marilah kita meninjau beberapa fakta dan hukum perkembangan benda.

1) Memanglah benar terdapat sekumpulan kecil orang yang menduduki Dataran Merdeka sebelum perhimpunan 428. Kumpulan belia yang menggelarkan diri sebagai 'Occupy Dataran' telah bergabungkan dengan sebahagian mahasiswa yang sudi terus “occupy dataran”, selepas perhimpunan mahasiswa (kebanyakannya berbangsa Melayu) untuk menuntut pemansuhan Skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan memperjuangkan pendidikan tinggi percuma di Dataran Merdeka pada 14 April 2012, untuk meneruskan perjuangan dan tuntutan mereka dengan harapan akan mendapat perhatian ramai. Walau bagaimanapun, tindakan occupy dataran itu tidak mendapat sokongan dan penyertaan mahasiswa-mahasiswi secara meluas, apatah lagi sambutan dan sokongan daripada masyarakat umum.

Pada 19 April, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan, telah menulis satu kenyataan terbuka bertajuk "The Students Have Raised the Bar in Our Democratic Struggle” (Mahasiswa telah meningkatkan palang dalam perjuangan demokrasi kita ). Mengulas mengenai tindakan kumpulan kecil mahasiswa tidak puas hati yang mengutarakan tuntutan mereka, beliau telah berikan penilaian berikut yang susah dipersetujui:

Perjuangan anti-PTPTN dan pendidikan percuma oleh mahasiswa-mahasiswi pada 14 April bakal menjadi perkara yang signifikan; Mahasiswa mengumumkan bahawa mereka akan terus berkampung dan occupy Dataran Merdeka sehingga 28 April untuk menyambut perhimpunan Bersih 3.0; Gerakan occupy mahasiswa-mahasiswi ini seolah-olah mencerahkan hari kita (Nota: “kita” merujuk kepada Arutchelvan dan mana-mana pihak yang menyokong tindakan occupy dataran.) menjelang perhimpunan Bersih 3.0.

Kesilapan pemimpin PSM tersebut mahupun penyokong “occupy Dataran Merdeka” adalah beliau (mereka) beranggapan bahawa kebenaran yang difahami oleh beliau (mereka) telahpun difahami dan diterima oleh masyarakat umum, dan seterusnya masyarakat akan bertindak kerana bersetuju dan menerima pandangannya (mereka). Akibatnya, anggapan tersebut tidak dapat direalisasikan! Malah, hasrat beliau (mereka) untuk menggabungkan tindakan occupy dengan sambutan Mei Satu dan merdekakan (liberalisasikan) Dataran Merdeka turut menjadi satu mimpi indah sahaja.

Fakta di atas menunjukkan pada hakikatnya terdapat sebahagian kecil orang tidak sabar hendak bangkit dan melepaskan diri daripada penindasan kejam dan ancaman tidak berperikemanusian yang berpanjangan, dan tidak sabar untuk menjayakan reformasi kerana dipengaruhi aksi massa hebat di luar negara, telah menghasilkan fikiran radikal yang tidak praktikal. Ini boleh difahami sepenuhnya. Juga tidak hairan jika mereka yang berfikiran radikal ini melakukan tindakan kolektif 'occupy Dataran Merdeka' dalam masa dan suasana tertentu.

Adalah tidak boleh diterima pihak kerajaan dan polis menindas dan mengancam secara ganas orang ramai yang tidak bersenjata yang menyertai perhimpunan 428 berdasar kepada pandangan dan tindakan “occupy dataran merdeka” yang tidak praktikal daripada kumpulan minoriti radikal.

2) Lebih kurang jam 3 petang, selepas Ambiga mengumumkan bahawa matlamat perhimpunan telah tercapai dan peserta boleh bersurai dengan aman, sekumpulan kecil orang merempuh kawat dawai dan penghadang besi polis lalu memasuki Dataran Merdeka dalam emosi yang tinggi. Ini adalah fakta. Ia merupakan reaksi dan tindak balas sebahagian kecil peserta perhimpunan yang tidak puas hati terhadap tindakan keras kerajaan dan polis menutup Dataran Merdeka dan menyekat kebebasan berhimpun rakyat. Ini adalah reaksi semulajadi rakyat yang berani malangkaui batas sekatan perundangan, kerana telah sedar daripada penindasan kejam dan ancaman tidak berperikemanusiaan klik (clique) pemerintah hegemoni yang berpanjangan.

Namun demikian, adalah tidak logikal untuk mengatakan bahawa tindakan mengalihkan penghadang dan memasuki Dataran Merdeka sebagai satu tindakan untuk 'occupy Dataran Merdeka'. Antara sebab-sebab yang utama adalah:

(1). Jawatankuasa Pepandu Bersih 2.0 yang diketuai oleh Ambiga merupakan pimpinan utama perhimpunan duduk-bantah 428. Jawatankuasa tersebut tidak pernah berpendapat dan menyatakan hendak 'occupy Dataran Merdeka' pada 28 April, malahan Ambiga telah memberikan arahan yang jelas bahawa: Polis telah menutup Dataran Merdeka, jadi kita akan mendekati Dataran Merdeka dan mengutarakan suara rakyat;

(2). Dianggar lebih daripada 100 ribu penyokong mengelilingi dan memenuhi jalan-jalan yang sekitar Dataran Merdeka. melainkan sebahagian kecil yang datang dengan tangan kosong, kebanyakan peserta hanya membawa beg kecil yang dimuatkan dengan barang-barang kegunaan persendirian dan air sahaja. Tiada siapa yang membawa peralatan untuk occupy seperti khemah, beg tidur, ataupun barang keperluan harian dalam beg besar;

(3). Pada hari tersebut, penyokong-penyokong telahpun membanjiri jalan-jalan sekitar Dataran Merdeka. Dalam erti kata lain, rakyat yang turun pada hari itu telah mengepung dataran dan telah 'occupy' Pusat Banda Kuala Lumpur. Tiada maknanya untuk 'occupy' dataran dalam keadaan sedemikan.

5. Perjuangan 428 yang agung merupakan kemuncak baru gerakan demokrasi dan hak asasi manusia di negara kita

Kesimpulannya, Duduk Bantah 428 merupakan perjuangan yang terutamanya dilancarkan dan dipimpin oleh BERSIH2.0 dan Himpunan Hijau, untuk menuntut sistem pilihanraya yang bersih dan adil, dan menentang LYNAS yang membawa malapetaka alam sekitar. Duduk Bantah 428 bukanlah satu tingkah laku kolektif yang spontan, tidak matang, yang dibuat secara tiba-tiba oleh suatu golongan masyarakat pada sesetengah peringkat dan di bawah keadaan tertentu. Ia juga bukan suatu konspirasi politik “membuat kekecohan dan menggulingkan kerajaan” yang dilaksanakan oleh seseorang pemimpin parti politik atau gabungan parti politik.

Sebenarnya, Duduk Bantah 428 adalah perjuangan politik menuntut reformasi sistem pilihanraya dan membantah malapetaka alam sekitar yang terancang, bermatlamat, berorganisasi dan terpimpin. Perjuangan tersebut telah diturut sertai oleh rakyat berbilang kaum daripada semua lapisan masyarakat secara inisiatif perseorangan dan dengan sukarela. Duduk Bantah 428 merupakan suatu pelaksanaan perjuangan penting dan satu komponen penting kepada gerakan demokrasi dan hak asasi manusia di negara kita pada peringkat kini.

Dari akhir abad ke-19 hingga tahun 1950-an, rakyat semua kaum diperhamba dan ditindas di Semenanjung Malaya termasuk Singapura, dan Sarawak, Sabah dan Brunei di Borneo Utara, yang sama-sama diperintah oleh penjajah British. Apabila pemerintah penjajah British menghadapi arus melawan penjajahan yang bergelora, mereka hanya mahu terus mempertahankan kepentingan jangka panjang mereka dalam politik, ekonomi dan ketenteraan di kawasan-kawasan tersebut. Oleh itu, mereka terpaksa membenarkan Malaya diisytiharkan merdeka pada tahun 1957.

Penjajah British seterusnya mengizinkan pemerintahan kendiri (self-government) di Singapura pada tahun 1959. Pada tahun 1963, lima buah wilayah digabungkan menjadi Malaysia (Brunei dan Singapura kemudiannya menarik diri dan keluar, akibatnya Malaysia terdiri daripada Semenanjung Malaya, Sarawak dan Sabah). Sejak itu, penjajah British berundur (penjajah tetap berpengaruh secara tidak langsung), rakyat "Malaysia" diperintah secara langsung melalui sistem "raja berperlembagaan" oleh golongan pemerintah Perikatan yang didominasi oleh UMNO. Golongan pemerintah tersebut disokong dan dipelihara oleh kelas tuan tanah bangsawan feudal Melayu dan penjajah British. Semenjak tahun 1974, Barisan Nasional meneruskan pemerintahan Perikatan sehingga zaman sekarang. (Perikatan berkembang menjadi Barisan Nasional setelah berjaya memancing dan menarik penyertaan kuasa pembangkang politik pada masa itu)

Selama lebih daripada 50 tahun, rakyat jelata semua kaum yang merangkumi kaum Melayu, Cina, India (Tamil), Iban (Dayak), Kadazan Dusun dan kaum minoriti sebagainya, dan semua kelas termasuk buruh, petani, nelayan, penjaja, serta golongan-golongan pekerja, pengusaha kecil, borjuis kecil kawasan bandar dan kapitalis nasional, dari berbagai-bagai bidang industri, semuanya tidak terkecuali daripada menjadi mangsa kepada sistem dan dasar perkauman yang dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan yang lepas dan kerajaan BN pada hari ini. (Pengalaman rakyat jelata hanya berbeza dari segi tahap penindasan.)

Antaranya, kaum dan lapisan terpinggir yang berkedudukan masyarakat yang paling bawah merupakan golongan yang paling tertindas. Berdasarkan pengalaman dan penglibatan dalam pilihanraya-pilihanraya dalam tempoh lebih daripada 50 tahun yang lepas, rakyat jelata telah memahami ciri-ciri "peraturan permainan" pilihanraya berparlimen yang dilaksanakan oleh kerajaan (iaitu Akta, sistem, prosidur dan lain-lain tentang pilihanraya) adalah tidak munasabah dan merupakan tipu-muslihat. Di samping itu, rakyat jelata menyedari bahawa selagi "peraturan permainan" pilihanraya berparlimen terus kekal, tidak akan wujudlah wakil rakyat yang benar-benar mempertahankan kepentingan rakyat, dan tidak akan wujud kerajaan yang benar-benar mewakili kepentingan rakyat.

Dalam keadaan sedemikian, suatu gabungan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili hasrat rakyat dalam menuntut sistem pilihanraya yang bersih dan adil telah wujud. Nama ringkasnya BERSIH. BERSIH telah memimipin seramai 40 ribu orang untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur pada 10hb. November 2007, demi melaungkan dengan bersemangat tuntutan reformasi sistem pilihanraya. Kejadian tersebut memberi kesan yang ketara terhadap keputusan pilihanraya umum yang diadakan pada 8 Mac 2008.

Selepas itu, satu gabungan yang terdiri daripada 62 NGO memutuskan untuk melantik Jawatankuasa Pepandu BERSIH 2.0 yang dipengerusi oleh Ambiga demi memainkan peranan BERSIH dengan lebih besar dan lebih baik. Perlantikan Jawatankuasa Pepandu Bersih 2.0 berpegang kepada prinsip kepimpinan “non-partisan”, demi menyatupadukan segala kekuatan yang boleh disatukan dalam usaha melaksanakan reformasi sistem pilihanraya.

Perarakan Demokrasi 709 dan Duduk Bantah 428 telah dilancarkan dan dipimpin oleh BERSIH 2.0. Duduk Bantah 428 khususnya, telah memberi petunjuk yang mendalam kepada rakyat semua kaum di negara kita. Ia merupakan kemuncak baru dalam gerakan demokrasi dan hak asasi manusia di negara kita. Ia dicerminkan terutamanya dalam perkara-perkara berikut:


(1) Duduk Bantah 428 telah disertai oleh kira-kira 250, 000 orang. Ia berjaya mencipta rekod baru, iaitu bilangan pesertanya terbanyak dan terbesar dalam sejarah perjuangan massa di negara kita. Walaupun parti pemerintah atau parti pembangkang dalam negeri pernah melancarkan begitu banyak perhimpunan politik sebelum itu, pencapaian Duduk Bantah 428 tetap tiada bandingannya;


(2) Tuntutan sistem pilihanraya yang bersih dan adil adalah berpatutan, munasabah dan tidak menyalahi undang-undang. Publisiti BERSIH begitu meluas dan mendalam sehingga dapat meningkatkan kesedaran orang ramai. Kerana rakyat menyedari kesahihan memakai baju kemeja-T berwarna kuning yang berlogo BERSIH, rakyat berani tidak mengendahkan “perintah larangan haram” yang dikenakan oleh kerajaan dan polis. Dengan itu, dalam perjuangan berdasarkan undang-undang, halaman baru telah dicipta oleh rakyat negara kita. Rakyat telah mencapai kemenangan gemilang dengan memandang ringan terhadap “perintah larangan haram”;


(3) Kepimpinan Bersih 2.0 berpegang tegas terhadap prinsip perjuangan yang munasabah, bermanfaat dan terkawal. Apabila matlamat tindakan telah dicapai, kepimpinan BERSIH 2.0 sewajarnya menangguhkan perjuangan untuk sementara waktu, agar mengelakkan kejadian huru-hara dan perosakan yang mungkin timbul ekoran dari tindakan berlebihan atau melampau yang dilakukan oleh massa. Pendekatan kepimpinan BERSIH 2.0 tersebut mewujudkan keadaan yang lebih baik demi melaksanakan perjuangan yang lebih besar di peringkat yang lebih tinggi pada masa depan. Dengan itu, mereka telah menunjukkan teladan yang baik untuk NGO berpegang kuat kepada prinsip berdikari dan autonomi dalam perjuangannya.

Akhir kata, kami dengan penuh ikhlasnya memberi salam terhadap masa depan BERSIH 2.0 dan masa depan reformasi sistem pilihanraya!


Pautan : Makna dan Pengaruh Mendalam “Perarakan Tunjuk Perasaan 709”

0 comments:

Pengumuman / 启事 / Notification

Pertukaran alamat blog dan e-mel

Selamat sejahtera, Sahabat Rakyat Working Committee akan menggunakan alamat e-mail dan alamat laman web (Blog) yang baru seperti berikut bermula 1 Januari 2014:

Emel: sahabatrakyat.my@gmail.com
Blog: http://sahabatrakyatmy.blogspot.com

Sekian, terima kasih dan Selamat Tahun Baru!

*********************************************

更换部落格网址与电邮地址

本工委会由2014年1月1日起,开始全面使用以下新电邮地址及部落格:

电邮地址:
sahabatrakyat.my@gmail.com
部落格:http://sahabatrakyatmy.blogspot.com

谢谢关注。祝大家新年进步!

*********************************************

Change of blog and email addresses

Please be informed that Sahabat Rakyat Working Committee will be using the new email and blog addresses below commencing 1 Jan 2014:

Email:
sahabatrakyat.my@gmail.com
Blog: http://sahabatrakyatmy.blogspot.com

Wishing you a progressive new year!

通告

    欢迎热心人士下载印发、
资助印制大选告人民书
把国阵抛弃到历史的垃圾堆中去!

作为活跃于柔佛州的为民主人权和民族尊严而奋斗的两个组织——柔佛州人民之友工委会与柔州兴权会(HINDRAF JOHORE)针对第13届大选,在去年底联合发表了一篇主题为“打破巫统霸权,建立民主联合阵线;团结全州人民,实现三大迫切诉求”的《告柔佛州人民书》;我们毫不犹疑,也毫不含糊主张“把国阵抛弃到历史的垃圾堆中去”。

我们在去年底的几个大规模群众集会期间,将《告柔佛州人民书》的四种语文(巫、华、印、英)传单派发给群众。我们也想要到各地去分发这份传单又力所不逮,特在此提供四种语文的PDF版本,以便各方热心人士下载、印制成传单,分发给需要阅读它而又不懂上网的亲戚朋友和各界人士,帮助我们把传单传得更广。
……

点击此处以阅读全文

 

Malaysia Time (GMT+8)