[kenyataan akhbar JERIT 5hb Disember 2008]
Jawatankuasa kempen “Rakyat Pengayuh Perubahan” bahagian selatan hari ini (5th Disember 2008) menghantar memorandum kepada Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman di Bangunan Sultan Ibrahim (bangunan kerajaan negeri). Lebih kurang 30 wakil Jawatankuasa kempen “Rakyat Pengayuh Perubahan” JERIT telah berkumpul di hadapan pintu besar Bangunan Sultan Ibrahim pada pukul 11 pagi untuk menghantar memorandum kepada Dato' Abdul Ghani Othman.
Walaubagaimana pun, Dato' Abdul Ghani Othman tidak turun untuk bertemu dengan Rakyat Johor, manakala mengarahkan Setiausaha Politik beliau Dr. Gunawan untuk menerima memorandum daripada wakil JERIT(Jaringan Rakyat Tertindas) En Zaaba.
Pada masa yang sama, ketua pembangkang negeri Johor, Dr. Boo Cheng Hau turun sendiri ke padang untuk memberi sokongan kepada Rakyat dan menerima memorandum daripada Rakyat. Beliau berjanji akan mengambil berat tentang isu-isu yang dibangkitkan oleh Rakyat biasa.
Pintu besar Bangunan Sultan Ibrahim yang selalu terbuka luas tiba-tiba dikunci dengan rantai besi setibanya wakil Jerit di situ. Wakil Jerit berasa kecewa dengan tindakan pegawai keselamatan yang menghalang Rakyat untuk berjumpa dengan pemimpin kita untuk meluahkan tuntutan rakyat, sedangkan surat yang menerangkan hasrat kehadiran kami ini telah dihantar 3 hari sebulum ini dan dicop terima oleh pejabat MB.
Sebagai kerajaan yang dipilih oleh rakyat, setiap keputusan yang diambil dalam Bangunan Sultan Ibrahim akan memberi kesan mendalam kepada kehidupan harian Rakyat Johor. Tiada sebab kenapa Rakyat harus dihalang diluar pagar daripada berjumpa dengan wakil-wakil Rakyat kita.
Kempen "Rakyat Pengayuh Perubahan" JERIT bahagian selatan mengemukan kan tuntutan seperti berikut:
a) Mansuhkan ISA
b) Kawal Harga Barangan
c) Gubal Akta Gaji Minima
d) Perumahan Selesa untuk Rakyat
e) Hentikan Penswastaan Perkhidmatan Awam
f) Kembalikan Pilihanraya Majlis Tempatan
g) Menghormati hak berpersatuan
Pengayuhan di peringkat Johor bermula pada 6 Disember 2008 (Sabtu) di Pejabat SUARAM JB, Skudai (8A, Jln Ronggeng 11, Tmn Skudai Baru, Skudai-bersebelahan dengan GoodHope Hotel) menghala ke utara. 50 peserta kempen akan berkayuh basikal menuju ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan pasukan basikal dari utara (Alor Setar) pada 18hb Disember 2008 untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri di Parlimen.
Antara Bandar utama yang akan pengayuh singgah termasuk Skudai, Senai, Kulai, Simpang Renggam(6hb), Kluang(7hb), Ayer Hitam, Yong Peng, Labis(8hb), Segamat dan Gemas(9hb). Kami akan mengadakan pelbagai aktiviti seperti ceramah, teater jalanan dan persembahan di tempat persinggahan dengan penglibatan masyarakat setempat.
Maka, kami Jerit peringkat Johor dengan sukacitanya menjemput mana-mana NGO, pertubuhan ataupun parti politik yang berpendirian sama dengan kami untuk menandatangani memorandum dan menyertai kempen ‘Rakyat Pengayuh Perubahan’ ini bersama-sama dengan rakyat jelata. Kepada mana-mana pihak yang ingin memberikan sokongan, sila hubungi koordinator kempen Basikal JERIT peringkat Johor seperti berikut: Saudara Zaaba (019 – 7320177), Saudara Sidiqin (013 – 7056243) atau Saudara Nyam (016 – 7782707).
0 comments:
Post a Comment