NGO Berkhidmat Untuk Rakyat Malaysia
Oleh Dr Kua Kia Soong, Pengarah SUARAM, 11hb Sep 2011
[Nota: Petikan ini merupakan kertas pembentangan Dr.Kua Kia Soong dalam Forum "NGO Sentiasa Berdampingan Dengan Rakyat Jelata yang dianjurkan di Taman Universiti Sport Club, Skudai, Johor pada 11hb September 2011. ]
1. NGO dan Kepentingan Rakyat
Kewujudan dan pembentukan NGO adalah untuk mempertahankan, memajukan dan mengembangkan kepentingan masyarakat tertentu. SUARAM terbentuk dalam keadaan krisis dalaman parti pemerintah berlaku pada 1987 dan penahanan ISA secara besar-besaran dibawah operasi lalang. Selepas dibebaskan pada tahun 1989, bekas tahanan operasi lalang dan mereka yang terlibat dalam ‘kumpulan sokongan keluarga tahanan’ (families support group) telah mengasaskan SUARAM untuk berkempen bagi memansuhkan ISA dan untuk memantau, mendokumenkan dan untuk mempertahankan hak asasi manusia. Sejak itu, SUARAM menjadi NGO utama yang menentang penahanan tanpa bicara.
Sejak tahun 1989, SUARAM telah menjadi penyelaras utama gerakan anti ISA dan lain-lain akta tanpa bicara seperti Ordinan Darurat (EO) dan Akta Dadah Berbahaya (DDA). Pejabat kami berfungsi memberi perlindungan kepada mereka yang ahli-ahli keluarganya telah menjadi mangsa penindasan kerajaan. Kami menghantar rayuan segera di seluruh dunia setiap kali berlakunya penahanan (tanpa bicara)atau penindasan hak asasi manusia.
Namun begitu, misi SUARAM sebenarnya jauh lebih daripada itu: " berusaha ke arah masyarakat yang aman, bebas, sama rata, adil dan mampan(berkekalan) dengan memperkasakan rakyat untuk mewujudkan alternatif demokratik progresif baru."
Dalam 22 tahun yang lepas, SUARAM telah beroperasi dengan struktur yang terdiri daripada aktivis dan sukarelawan yang komited. Sokongan kewangan yang kami peroleh digunakan untuk memupuk aktivis muda dalam kerja-kerja hak asasi manusia. Kami mengambil sekumpulan kecil kakitangan muda yang berdedikasi yang telah memilih haluan ini untuk berkhidmat kepada kerja-kerja hak asasi manusia.
Walaupun dengan jumlah kakitangan yang sikit, SUARAM menerbitkan satu-satunya laporan Hak Asasi Manusia yang kredible dan terperinci setiap tahun tanpa gagal sejak tahun 1998. Laporan yang sedemikian adalah satu sumbangan yang tidak ternilai kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan dan juga mendedahkan (keadaan hak asasi di Malaysia) kepada warga seluruh dunia.
Sepanjang kewujudannya di dalam 22 tahun yang lalu, kakitangan dan ahli sekreteriat SUARAM telah terlibat dalam pendidikan hak asasi manusia dan alam sekitar, memberi ceramah, menganjurkan seminar dan menyediakan latihan. SUARAM telah memulakan misi pencarian maklumat (fact finding missions) dan kempen membantah empangan Bakun dan empangan Selangor untuk melindungi kepentingan orang-orang asli, alam sekitar dan kepentingan pembayar cukai di Malaysia. Kami juga memberi sokongan kepada masyarakat terpinggir seperti peneroka bandar, masyarakat ladang dan pelarian (refugees) apabila mereka menghadapi pengusiran paksa dan ditindas oleh kerajaan. Kami juga terlibat dalam kempen menuntut balik pilihanraya kerajaan tempatan.
Cawangan kami di JB (1999) dan Pulau Pinang (2002) telah ditubuhkan supaya kami boleh berkhidmat kepada rakyat di sana dengan lebih baik dan meningkatkan dokumentasi dan pemantauan pencabulan hak asasi manusia di kawasan-kawasan diluar KL.
2. NGO dan Gerakan Rakyat Malaysia
Sejak penubuhannya, SUARAM giat bekerja ke arah gerakan demokrasi yang sihat di negara ini dan kita boleh mengatakan bahawa Gagasan Rakyat dan semua usaha-usaha oleh SUARAM dalam 20 tahun yang lalu telah menghasilkan sistem dua-barisan hari ini dan tsunami politik pada tahun 2008. Sebilangan kecil pemimpin dalam Pakatan Rakyat, pada waktu-waktu berlainan, pernah menjadi ahli Sekretariat SUARAM.
Kami telah berjaya dalam membina rangkaian badan-badan bukan kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat, terutamanya ke atas penggubalan Piagam Hak Asasi Manusia Malaysia pada tahun 1994, penerbitan Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia pada tahun 1998, Gabungan membantah Empangan Bakun pada tahun 1995 dan Gagasan Demokrasi Rakyat pada tahun 1998. Sudah tentu kami adalah sebahagian daripada gabungan Bersih 2.0. Proses menjalin rangkaian-rangkaian ini adalah sama penting dengan pembentukan jaringan-jaringan ini sendiri dalam misi kami untuk membina sebuah gerakan hak asasi manusia di negara ini.
SUARAM juga telah menjadi sebahagian daripada rangkaian hak asasi manusia serantau kerana kita percaya bahawa cara yang lebih bermakna untuk memupuk persefahaman di kalangan rakyat ASEAN dan Asia-Pasifik adalah untuk menegakkan dan menggalakkan hak asasi manusia di rantau ini. Oleh itu, kami telah memainkan peranan aktif dalam Himpunan Rakyat Asia Pasifik pada tahun 1998, Persidangan Asia-Pasifik mengenai Timor Timur pada tahun 1996, ‘Myanmar Solidariti’ dan lain-lain isu serantau. Ini adalah selaras dengan semangat kesejagatan hak asasi manusia dan anti-imperialisme yang melintasi sempadan untuk setiap masyarakat di bumi kita, termasuk Bosnia, Palestin dan lain-lain. Kempen bagi melucutkan senjata dan membudayakan keamanan juga mesti meliputi seluruh komuniti ASEAN.
3. NGO dan politik Malaysia
NGO boleh dan mesti memainkan peranan yang membina dalam memastikan kepentingan rakyat dilindungi dalam politik Malaysia. Gabungan Bersih 2.0 baru-baru ini mungkin satu contoh terbaik bagaimana NGO telah membangkitkan tuntutan "kuning" untuk memastikan pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia. Kempen alam sekitar Lynas dan Bukit KOMAN paling sesuai mengutarakan tuntutan "hijau" bagi perlindungan alam sekitar dan perlindungan kesihatan orang ramai dalam projek-projek perindustrian. Tuntutan-tuntutan ini tidak akan lengkap tanpa tuntutan "merah" hak-hak sivil dan politik. Inilah yang SUARAM prihatin sejak ia ditubuhkan pada tahun 1989.
Adalah penting bagi demokrasi dan pembangunan mampan Malaysia bahawa komuniti diperkasakan dalam perjuangan mereka menentang projek-projek silap rancang yang diiringi oleh kaedah menindas yang digunakan untuk menjayakannya. Kes kampung-kampung di mana masyarakat berdiri teguh menentang samseng pemaju, pegawai-pegawai penguatkuasa, FRU dan meriam air mereka. Begitu juga dengan kes di Bukit Merah di mana penglibatan dan sokongan masyarakat setempat kekal sepanjang kempen. Mereka berjuangan untuk persekitaran hidup yang selamat yang bebas dari pencemaran radioaktif. Hari ini, masyarakat yang membantah loji nadir bumi Lynas dan lombong emas Bukit Koman adalah barisan hadapan perjuangan ini untuk memastikan kepentingan rakyat didahulukan daripada keuntungan.
Komitmen mereka terhadap perjuangan, kepimpinan dan solidariti masyarakat patut dicontohi oleh segenap masyarakat Malaysia. Mereka telah menunjukkan kepada kita bahawa tindakan secara langsung mampu memperkasakan rakyat untuk bersatu sebagai individu dengan tujuan yang sama, untuk mengubah keadaan secara langsung dengan tindakan kita sendiri.
Realiti di Malaysia adalah krisis ketidaksamarataan yang semakin ketara dalam pengagihan kekayaan di negara ini; antara Timur dan Barat Malaysia; antara kawasan luar bandar dan bandar; antara lelaki dan wanita; penindasan ke atas kumpulan yang terpinggir termasuk masyarakat Orang Asli, peneroka bandar, masyarakat ladang dan lain-lain minoriti; dan pengurangan kawasan hutan, tenaga dan sumber air. Sudah menjadi corak bahawa yang kaya dan berkuasa dengan sokongan daripada pemimpin-pemimpin politik yang akan membuat keputusan mengenai apa yang dihasilkan, sumber mana yang akan dieksploitasi dan berapa banyak keuntungan akan diragut. Dan kebiasaannya, syarikat yang berhubung rapat dengan kuasa politik tertentu yang akan diberi kontrak-kontrak lumayan ini.
Ekonomi kita perlu dirancang berpandu kepada gerakan buruh yang digemblengkan dan tahap penyertaan yang tinggi dari masyarakat madani. Corak hak milik mesti berbentuk majmuk tanpa penumpuan kuasa swasta yang tidak bertanggungjawab, campuran antara rancang dan pasaran serta sektor koperatif dan masyarakat yang bertenaga. Di tempat kerja dan masyarakat umum, penyertaan bercorak demokrasi mesti diwujudkan. Matlamat pengeluaran adalah untuk memenuhi keperluan manusia walaupun terdapat peranan untuk pasaran terkawal seperti barang-barang keperluan, contohnya. pakaian, bahan makanan.
Sudah tentu kita tidak memerlukan pengeluaran senjata sebagai sebahagian daripada proses luar pesisiran kepada pengeluar senjata global sebagaimana juga (kita tidak perlu) kompleks perindustrian ketenteraan domestik. Gerakan memelihara alam sekitar pula tidak dapat dipisahkan daripada gerakan rakyat untuk keamanan, demokrasi dan hak asasi manusia.
Kepentingan rakyat jelata mesti meliputi sokongan kepada rakyat negara-negara lain yang menjadi mangsa pencerobohan imperialis. Suaram juga telah konsisten dalam menentang dan mengutuk imperialisme Amerika / barat selama ini. Kami telah menyertai “Gabungan Hentikan Perang" dan menyelaraskan demonstrasi anti- Amerika dan protes terhadap pencerobohan Amerika di Iraq dan Afganistan serta kekejaman Israel di Gaza.
4. Kuasa Ketiga Yang Menentang Neo-liberalisme
Oleh itu, badan-badan bukan kerajaan mesti terus berkhidmat kepada rakyat dengan membina kuasa ketiga yang berusaha ke arah mengalahkan neo-liberalisme dan menuntut kembali sumber-sumber Malaysia untuk rakyat Malaysia. Matlamat pertama kuasa ketiga adalah menumbangkan rejim BN yang memecah-belahkan dan menindas rakyat Malaysia sejak kemerdekaan dan berkembang pesat melalui eksploitasi ala kapitalis neo-liberal. Sama seperti dalam pilihan raya umum 2008, kita perlu membentuk pakatan strategik dengan Pakatan Rakyat (PR) untuk menumbangkan kerajaan BN dan mengembalikan kebebasan asas, demokrasi liberal dan hak asasi manusia.
Dalam membina pakatan strategik ini dan mengetahui hakikat bahawa sejumlah wakil rakyat dari PR telah lompat ke BN selepas pilihan raya 2008, kita berharap bahawa PR akan berkompromi dengan sepatutnya dengan kuasa ketiga dalam pemilihan calon (untuk pilihanraya umum).
Diantara PR, NGO boleh memainkan peranan yang penting dalam menghakimi pemilihan calon-calon (pilihanraya) dan memastikan tidak wujud lagi kodok, keldai atau lembu tolol yang kita lihat selepas pilihan raya umum 2008. Untuk mengelakkan rundingan sukar yang biasa berlaku dan kesan buruknya kepada pembangkang persekutuan, NGO boleh membentuk satu 'Jawatankuasa Bebas Pemilihan Calon Rakyat' untuk menilai secara objektif kesesuaian calon-calon rakyat untuk pilihan raya umum ke-13 dan mengelakkan pertarungan tiga penjuru di mana-mana kawasan pilihan raya. Pemimpin NGO yang disegani adalah orang yang paling sesuai dijadikan ahli yang tidak berat sebelah dalam jawatankuasa ini. Proses ini juga akan membantu PR dengan mengurangkan pertelingkahan yang selalunya berlaku semasa rundingan antara parti (untuk kerusi) sebelum setiap pilihan raya umum. Jawatankuasa NGO ini juga harus mengadili tuntutan-tuntutan oleh parti-parti dalam PR terhadap kerusi-kerusi tertentu.
Selepas kejatuhan BN, perjuangan menentang kapitalisme neo-liberal, seiring dengan perjuangan untuk melindungi hak-hak dan kepentingan rakyat, pasti akan dituju kepada kerajaan PR. PR setakat ini tidak menolak dasar-dasar neo-liberal yang membolehkan syarikat-syarikat multi-nasional dan syarikat-syarikat besar untuk merompak sumber-sumber negara dengan membeli sumber-sumber yang diswastakan pada harga teramat rendah. Sumber dan pasaran kita dikawal mengikut kepentingan kapitalis yang berkuasa yang semakin pesat berkembang melalui buruh murah warga Malaysia mahupun buruh asing. Kos untuk ini akhirnya ditampung oleh pekerja-pekerja dan golongan miskin dimana taraf hidup mereka terus ditolak ke bawah.
Penentangan terhadap neo-liberalisme yang tidak terkawal adalah selari dengan usaha memperkasakan rakyat yang tertindas dalam proses membentuk sosialisme penyertaan demokratik (democratic participatory socialism). Penyertaan umum secara demokratik bukan sahaja perlu dilaksanakan di institusi-institusi ekonomi tetapi juga dipolitik. Terdapat keperluan terhadap campur tangan kerajaan dan menghakmiliknegarakan sumber asas seperti petroleum dan gas, utiliti seperti air, tenaga, kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan sosial. Pindahan modal yang tidak terbatas oleh spekulator dan kapitalis kewangan juga mesti diletakkan dibawah pemeriksaan.
Hanya melalui tindakan secara langsung dan gerakan massa, demokrasi akar umbi sebenar boleh wujud. Kuasa mestilah berasaskan organisasi kendiri pekerja dan lain-lain komuniti dalam perjuangan mereka menentang modal. Majlis-majlis di tempat kerja dan masyarakat setempat yang dihasilkan secara pilihan bertanggungjawab ke atas hal ehwal mereka sendiri dan dikaitkan dengan keputusan keseluruhan masyarakat secara umumnya.
Demokrasi sebenar tidak akan tercapai hanya melalui pilihan raya umum yang berkala dan tidak bergantung kepada parlimen semata-mata. Untuk memastikan kejayaan demokrasi, kita mesti mengemukakan tuntutan dari luar Parlimen. Demokrasi adalah lebih daripada sekadar mengundi lima tahun sekali seperti ada pandangan yang mengatakan bahawa:
"Jika mengundi dalam pilihan raya umum pernah membawa sebarang perubahan, ia pasti sudah dimansuhkan sekarang!"
--
Pautan: