Sunday, May 6, 2012

Majlis Sambutan Hari Pekerja Sedunia Negeri Johor 2012 - Mesej Dari Presidium "Pekerja Berganding, Masa Depan Terjamin!"

Majlis Sambutan Hari Pekerja Sedunia Negeri Johor 2012
Mesej Dari Presidium

Pekerja Berganding,
Masa Depan Terjamin!

Dr. Hj. Ali Abdul Rahman, Y. Mohan, Ng Chee Wee

Dr. Hj. Ali Abdul Rahman mewakili Presidium menyampaikan Mesej Mei Satu.

Dilema yang dihadapi pekerja Malaysia, tanpa mengira kaum, sangat meruncing dan membimbangkan.  Ia bukan sahaja boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat berbilang kaum di negara ini, bahkan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan keselamatan negara yang tercinta.

Gaji yang rendah diikuti kos saraan hidup yang tinggi adalah antara dilema yang terbesar.  Pekerja tanpa kemahiran, seperti operator kilang dan pembersih lantai di pejabat-pejabat, dibayar gaji permulaan RM400 hingga RM550.  Ada di antara mereka merupakan penyara tunggal dalam keluarga yang ramai.  Ada juga yang terpaksa tinggal di bandar-bandar besar seperti Johor Bahru, yang kos saraan hidup antara yang tertinggi di seluruh Malaysia.

Kebanyakan majikan syarikat atau ladang-ladang pula kelihatan lebih cenderung untuk mengambil pekerja asing yang boleh dibayar gaji yang lebih rendah.  Walaupun dibayar gaji rendah, pekerja asing ini sanggup bertahan kerana samada mereka belum berkahwin, atau meninggalkan tanggungan mereka di negara masing-masing.  Bersendirian, mereka sanggup bekerja banyak pusingan ‘shift’ untuk meningkatkan pendapatan.  Dengan demikian jumlah pendapatan mereka meningkat dan dapatlah mereka mengirim wang pulang, yang apabila ditukar ke dalam mata wang negara mereka, mampu menyara keluarga masing-masing dengan amat selesa sekali.  Betapa ruginya pekerja Malaysia yang dipinggirkan! … juga seluruh rakyat Malaysia – lantaran ratusan juta ringgit dana negara yang mengalir keluar.

Keutamaan yang diberikan kepada pekerja asing tidak terbatas di situ sahaja.  Malah terma kontrak yang ditandatangani bersama majikan menjanjikan tempoh kerja sehingga 2 tahun – yang sering pula dilanjutkan - berbanding 3 bulan untuk pekerja setempat.  Malah pekerja tempatan boleh diberhentikan tanpa sebarang pampasan, manakala pekerja asing diberi layanan yang istimewa disebabkan kontrak yang dimeterai melibatkan hubungan dua negara.  Sungguh, pekerja asing menjadi ancaman kepada pekerja setempat!

Lebih memburukkan keadaan, Menteri Sumber Tenaga Manusia – yang sepatutnya membela nasib pekerja tempatan – kelihatan lebih bersungguh memperjuangkan nasib pembantu rumah asing – gaji minimum RM800, makanan percuma, cuti sehari penuh setiap minggu – daripada menunjukkan keprihatinan terhadap nasib pekerja bangsanya sendiri.  Benarlah pepatah Melayu, kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiarkan kebuluran …

Nasib pekerja tempatan yang dilakarkan di atas tidak terbatas kepada satu kaum sahaja, malah benar untuk semua kaum di Malaysia.  Walaupun begitu, mungkin kaum yang paling teruk terkesan ialah kaum India.  Menyoroti sejarah negara sehingga sebelum kemerdekaan, antara habitat asal pekerjaan untuk sebahagian besar kaum India ialah di estet getah.  Setelah merdeka, kerajaan menukar fokus daripada getah kepada kelapa sawit, lantas pekerja estet getah hilang pekerjaan lantaran majikan estet sawit mengutamakan pekerja asing yang kelihatan lebih setia dan sanggup bekerja dalam keadaan yang menekan.  Di ladang-ladang getah yang masih ada pula, seperti di Kluang dan Segamat, nasib yang menimpa pekerja yang tinggal amat mendukacitakan.  Tiba musim hujan, gaji mereka dipotong walaupun yang demikian tidak berlaku kepada pekerja asing di ladang yang sama!

Semua janji yang diberikan kepada kaum India semasa mereka dibawa masuk bekerja di ladang ternyata janji kosong belaka.  Ganjaran yang dijanjikan, seperti lot tanah dan rumah percuma, tidak dilunaskan, generasi demi generasi sehingga melangkaui generasi ketiga keluarga sama yang berkhidmat untuk ladang dan majikan yang sama.  Betapa tidak kaum ini dikhianati? …

Natijahnya, ramai pekerja India terpaksa berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mengadu nasib.  Ramai yang kecundang apabila kilang-kilang mensyaratkan umur kurang 35 tahun untuk permulaan kerja operator.  Akhirnya pekerja tersebut terpaksa menerima nasib sebagai pembersih, pengawal keselamatan, dan lain-lain pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran khusus.  Oleh sebab gaji mereka kecil, sering didapati suami dan isteri dalam sebuah keluarga terpaksa sama-sama bekerja mencari nafkah untuk seisi keluarga yang ramai bilangannya.  Rumah yang mampu mereka sewa – walaupun tinggi sewanya – rata-rata sangat daif dan terletak pula di kejiranan yang sarat dengan masalah sosial.  Kesudahannya, anak-anak mereka terbiar, tanpa makanan sempurna, tercicir di bidang pendidikan, ditambah oleh pengaruh pesekitaran, menjadi remaja liar.  Masalah kadar tinggi jenayah yang dihadapi negara kini sebahagiannya berpunca daripada situasi sebegini.

Malang sekali pekerja yang disebutkan di atas telah, sedang, dan akan sentiasa mengalami kitaran ganas ‘vicious cycle’ yang tidak ada penghujungnya.  Mereka sering menjadi sasaran penguatkuasa undang-undang, tanpa masyarakat menyedari punca dilema yang mereka hadapi.

Hilangkah sudah keprihatinan umat yang dikenali sebagai rakyat Malaysia? …

Kaum India – dan kaum-kaum lain di Malaysia – sangat memerlukan pembelaan.

Bagaimanapun siapakah yang akan membela mereka, dan bagaimana?  Majikan yang mengharapkan keuntungan semata-mata tidak boleh diharapkan.

Masalah yang berpuncakan dasar kerajaan sebenarnya boleh diselesaikan juga oleh kerajaan.  Malangnya samada kerajaan kurang perihatin, tersasar dari jalan penyelesaian yang betul,  atau tidak mengambil langkah sesuai yang diperlukan.

Ura-ura menetapkan gaji minimum bagi pekerja kini menjadi realiti, walaupun pada zahirnya kelihatan menarik bagi pekerja tempatan, mengundang bala yang lebih besar.  Telah ada syarikat asing yang memindahkan operasinya – secara separa atau penuh - ke negara lain, seperti Vietnam dan China – yang saraan pekerja jauh lebih rendah berbanding Malaysia – dan ini boleh menyebabkan pengangguran yang tinggi di negara kita pada jangka sederhana dan panjang.

Adakah kita harus tunggu dan lihat sahaja malapetaka yang bakal melanda negara kita? …

Benar kita memperjuangkan gaji yang tinggi untuk pekerja kita.  Tetapi kelestarian (sustainability) perlu juga diambilkira.  Kita mahu majikan memberi gaji yang lumayan kepada pekerja kita sesuai dengan kualiti kerja dan produktiviti mereka.

Langkah penting yang boleh diambil oleh kerajaan ialah memperuntukkan dana khas untuk meningkatkan kualiti dan kemahiran pekerja tempatan.  Melalui dana ini, pekerja akan diberi latihan kemahiran yang khusus menurut keperluan bidang kerjaya masing-masing.  Dengan itu, majikan tidak perlu lagi melatih pekerja tempatan yang masuk bekerja, sekaligus mereka dapat terus menyumbang terhadap produktiviti syarikat dari hari pertama bekerja lagi.  Latihan peningkatan sikap dan mutu kerja juga perlu dijalankan.  Apabila produktiviti, sikap dan mutu kerja pekerja tempatan jauh lebih baik berbanding pekerja asing, syarikat tidak ada pilihan kecuali mengambil pekerja kita.  Malah mereka dengan rela hati akan menawarkan gaji yang lumayan untuk pekerja tempatan!  Inilah penyelesaian ‘win-win’ yang lestari terhadap masalah pendapatan pekerja.

Langkah lain yang wajar ialah kerajaan menyediakan insentif bagi syarikat-syarikat supaya mereka mampu mengambil dan mengekalkan pekerja tempatan.  Syarikat-syarikat boleh diberi insentif cukai apabila mereka menggaji pekerja tempatan.

Malangnya, kerajaan yang ada sekarang kelihatan lemah upaya serta ketandusan idea dan inisiatif.  Sektor awam yang berada secara langsung di bawah pengawasan kerajaan pun tidak sepi dari masalah pekerjanya.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan ura-ura menukarkan skim perkhidmatan yang sedia ada, Sistem Saraan Baru (SSM), dengan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).  Walaupun terdapat kepincangannya, terdapat juga kebaikan yang ketara, menyebabkan ramai kakitangan awam menerima opsyen melanjutkan umur bersara sehingga 60 tahun.  Malangnya, pada pertengahan bulan Mac 2012  yang lalu, YAB Perdana Menteri telah membatalkan cadangan SBPA, dan mengekalkan SSM dengan beberapa penambahbaikan.

Tindakan kerajaan ini mendedahkan kelemahannya yang ketara dalam penggubalan polisi dan pembuatan keputusan.  SBPA diusulkan sebagai sebahagian daripada pakej Program Transformasi Kerajaan (GTP),  dan sememangnya SBPA memiliki banyak unsur positif untuk menggiatkan lagi sistem ‘delivery’ sektor awam.  Sebagai contoh, satu ciri SBPA ialah wujudnya ‘exit policy’ yang bertujuan menangani masalah pekera kurang produktif.   Memansuhkan SBPA sebelum ia terlaksana dan berpatah balik kepada SSM menunjukkan kehilangan arah tuju kerajaan di samping menunjukkan betapa lemahnya komitmen kerajaan terhadap inisiatif GTP itu sendiri.  Selain itu, ramai kakitangan kerajaan berasa tertipu, kerana mereka mengambil opsyen lanjutan umur persaraan untuk memanfaatkan peruntukan kenaikan gaji yang disediakan SBPA, tetapi setelah SBPA dibatalkan, perlanjutan umur persaraan mereka tetap kekal.

Syugia, perlanjutan umur persaraan juga mendatangkan implikasi gelap terhadap tenaga pekerja muda di tanah air kita.  Ramai di antara remaja dan belia yang baru memiliki sijil, diploma, atau ijazah, yang sedang bersiap sedia memasuki alam kerjaya telah dihampakan setelah dinafikan tempat kerja lantaran tiada kekosongan pekerjaan di sektor awam.   Remaja dan belia – yang sepatutnya menjadi barisan pelapis negara – kini menjadi bakat yang disia-siakan.  Pepatah Inggeris mengungkapkan ‘An idle mind is a most terrible thing to waste’ (Minda yang terbiar itu sangat membahayakan).  Nasib yang mereka sedang hadapi akan menjejaskan masa depan negara.

Inilah ssenario pekerja – dan bakal pekerja – di tanah air kita.  Di ladang-ladang mereka dipinggirkan dan dinyah keluar.  Di kilang-kilang mereka diremehkan.  Di sektor awam juga mereka menghadapi dilema.  Mereka perlukan pembelaan.  Dari majikan yang mendahulukan keuntungan?  Dari kerajaan yang hilang pegangan?  Kedua-dua hanya mampu mampu menambah penderitaan.

Hanya kita – pekerja kilang, ladang , dan awam –   yang mampu membela diri sendiri.  Justeru, kita, pekerja berbilang kaum, harus bersatu, berganding bahu, sebagai rakyat tanah air yang tercinta ini menuntut hak seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.  Kerajaan yang melaungkan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ mestilah didesak mengotakan janjinya, supaya tidak hanya bercakap yang tak serupa bikin.  Majikan mesti didesak berlaku adil terhadap pekerja tempatan melalui penggubalan undang-undang adil yang diluluskan di Parlimen, berdasarkan Perlembagaan negara.

Inilah tuntutan pekerja rakyat Malaysia.  Tuntutan ini hanya dapat ditunaikan jika pekerja berganding bahu, tanpa mengira kaum dan agama, bangun menuntut hak yang sudah lama dinafikan.  Tertunainya hak pekerja, terjaminlah masa depan mereka, dan terjaminlah masa depan negara dan seluruh rakyat negara tercinta ini.

'Pekerja berganding, masa depan terjamin.'

0 comments:

Pengumuman / 启事 / Notification

Pertukaran alamat blog dan e-mel

Selamat sejahtera, Sahabat Rakyat Working Committee akan menggunakan alamat e-mail dan alamat laman web (Blog) yang baru seperti berikut bermula 1 Januari 2014:

Emel: sahabatrakyat.my@gmail.com
Blog: http://sahabatrakyatmy.blogspot.com

Sekian, terima kasih dan Selamat Tahun Baru!

*********************************************

更换部落格网址与电邮地址

本工委会由2014年1月1日起,开始全面使用以下新电邮地址及部落格:

电邮地址:
sahabatrakyat.my@gmail.com
部落格:http://sahabatrakyatmy.blogspot.com

谢谢关注。祝大家新年进步!

*********************************************

Change of blog and email addresses

Please be informed that Sahabat Rakyat Working Committee will be using the new email and blog addresses below commencing 1 Jan 2014:

Email:
sahabatrakyat.my@gmail.com
Blog: http://sahabatrakyatmy.blogspot.com

Wishing you a progressive new year!

通告

    欢迎热心人士下载印发、
资助印制大选告人民书
把国阵抛弃到历史的垃圾堆中去!

作为活跃于柔佛州的为民主人权和民族尊严而奋斗的两个组织——柔佛州人民之友工委会与柔州兴权会(HINDRAF JOHORE)针对第13届大选,在去年底联合发表了一篇主题为“打破巫统霸权,建立民主联合阵线;团结全州人民,实现三大迫切诉求”的《告柔佛州人民书》;我们毫不犹疑,也毫不含糊主张“把国阵抛弃到历史的垃圾堆中去”。

我们在去年底的几个大规模群众集会期间,将《告柔佛州人民书》的四种语文(巫、华、印、英)传单派发给群众。我们也想要到各地去分发这份传单又力所不逮,特在此提供四种语文的PDF版本,以便各方热心人士下载、印制成传单,分发给需要阅读它而又不懂上网的亲戚朋友和各界人士,帮助我们把传单传得更广。
……

点击此处以阅读全文

 

Malaysia Time (GMT+8)