Hentikan Penindasan Terhadap Orang Asal;
Suara Orang Asal Perlu Diterima dan Diambil Berat
Kenyataan Akhbar : 31 Januari 2012
SUARAM mengutuk tindakan polis yang menangkap 13 orang aktivis dan seorang peguam hak asasi manusia iaitu Siti Kasim apabila orang asli Temiar membuat bantahan untuk tidak membenarkan pembalak memasuki kampung mereka yang terletak di Gua Musang pada 28hb Januari 2012.
Sudah berkali-kali polis menjadi alat kepada syarikat besar atau kapitalis untuk menindas sesiapa yang ingin menghalang projek yang menguntungkan mereka dengan menangkap orang yang mempertahankan kampung halaman mereka. Kejadian ini pernah berlaku di Kampung Rawang, Selangor, kampung DBI Buntung, Perak, Kampung Sungai Palas di Cameron Highlands dan penduduk anti Lynas di Kuantan, Pahang pada tahun lepas. Artikel ke-9 dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat telah menyatakan bahawa tidak ada sesiapa yang boleh ditangkap sewenang-wenangnya tanpa alasan munasabah.
SUARAM sebagai badan hak asasi manusia telah memantau banyak kes penindasan hak orang asal. Paling ketara adalah tanah rizab mereka diambil alih akibat kerjasama antara syarikat besar dengan kerajaan negeri. Antara isu masalah tanah rizab orang asal dan peneroka bandar adalah seperti proses pembalakan yang dijalankan di Ulu Baram, Apoh Tutoh dan Ulu Limbang di Sarawak pada tahun 1987 dan empangan Bakun pada tahun 1995. Projek Teluk Danga di muara sungai Skudai, Johor yang menjejaskan kehidupan orang Seletar (1996), Pembalakan di Keningau, Sabah (2000) dan pembinaan Kilang kertas dan Pulpa di Kalabakan,Tawau, Sabah (2000) dan projek empangan Sungai Selangor di Kuala Kubu Baru (2000)1.
Deklarasi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Dalam Hak Orang-orang Asal (2007)2, Artikel ke-10 telah menyatakan bahawa orang asal tidak boleh dipaksa pindah daripada tanah rizab mereka sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada masyarakat orang asal. Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab untuk memastikan hak-hak orang asal dijamin dan sentiasa dilindungi.
Kami mendesak kerajaan negeri Kelantan untuk berunding dengan penduduk orang Temiar dan mengambil tindakan segera untuk menghalang syarikat pembalakan menjalankan proses pembalakan di kawasan tersebut. Deklarasi PBB Dalam Hak-hak orang orang Asal artikel ke-8 (2) telah menyatakan bahawa adalah tanggungjawab kerajaan untuk memelihara tanah rizab dan budaya serta etnik orang asal.
Tambahan, kami mendesak supaya kerajaan mengambil tindakan untuk memastikan hak-hak orang asal dijamin termasuk hak berpendidikan, hak memiliki tanah rizab dan memiliki budaya dan adat resam sendiri dengan tidak membenarkan syarikat kapitalis merampas tanah mereka untuk mengaut keuntungan. Sekali lagi, pihak polis perlu berhenti untuk menjadi alat syarikat multinasional dengan menindas rakyat terutamanya masyarakat orang asal.
Yap Heng Lung
Penyelaras SUARAM
1<Rakyat Dulu Untung Kemudian-Hak komuniti-komuniti Malaysia Dalam Pembangunan>/SIRD&SUARAM(2003)
2<Declaration on the Rights of Indigenous Peoples>/ http://untreaty.un.org/cod/avl/ha/ga_61-295/ga_61-295.html