Tuntutan 4 Badan Bukan Kerajaan Johor, sempena Hari Pekerja Sedunia “Mei Satu” 2011
1hb Mei 2011
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan pada tahun 2009, sebanyak 52.7 % isi rumah tergolong dalam kelas pendapatan kurang daripada RM 3000. Tidak kira berkolar putih atau berkolar biru, kebanyakan kaum buruh terpaksa sentiasa bekerja lebih masa (overtime) “secara tetap” demi memperolehi pendapatan yang lebih mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian yang asas. Keadaan ini telah menjadi biasa di masyarakat kita. Hak buruh lapan jam sehari yang berjaya dituntut oleh pejuang-pejuang gerakan buruh yang awal telah terhakis sepenuhnya dan sekadar wujud dalam dokumen perundangan sahaja.
Data Bank Dunia menunjukkan bahawa secara purata kenaikan gaji rakyat Malaysia hanyalah sebanyak 2.6% dalam tempoh 10 tahun (dari tahun 2000 hingga 2010), lebih rendah daripada kadar inflasi iaitu sebanyak 3.2%. Dalam keadaan ekonomi sekarang yang masih meleset, kaum buruh menghadapi tekanan kehidupan yang semakin serius. Sekiranya kemunduran ekonomi terus-menerus, kapital akan meninggalkan negara kita secara besar-besaran. Kaum buruh akan menjadi mangsa terlebih dahulu dengan diberhentikan. Golongan buruh industri elektronik di Pulau Pinang pernah menghadapi masalah ini pada beberapa tahun yang lepas.
Pencabulan hak dan kepentingan kaum pekerja sentiasa berlaku kerana gerakan buruh ditindas dan dipecah-belahkan oleh kaum pemerintah dalam semua aspek. Oleh demikian, empat buah badan bukan kerajaan di negeri Johor, iaitu Persahabatan Semparuthi, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) Johor, Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (Jawatankuasa Perhubungan Johor Bahru) dan Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM Johor sempena Program Sambutan Hari Pekerja Sedunia “Mei Satu”, menyeru rakyat pelbagai kaum, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan berbilang kaum, dan kesemua parti politik agar berusaha sehingga pihak kerajaan merealisasikan tiga tuntutan berikut:
(1) Menjamin Kepentingan dan Hak Pekerja dengan Meminda Akta dan Dasar Kerajaan
Demi mempertahankan kepentingan kaum pemerintah, kerajaan sentiasa mengabaikan kepentingan kaum buruh. Satu contoh adalah kerajaan mempergunakan dana EPF untuk menyelamatkan syarikat Valuecap Sdn. Bhd. pada tahun 2008. Pada tahun yang lepas, kerajaan merancang untuk meminda Akta Pekerja 1955, Akta Perhubungan Industri 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959. Rancangan kerajaan adalah melaksanakan “sistem kontrak” sepenuhnya di semua bidang industri yang akan mengaburkan atau mengalihkan hubungan antara majikan dan buruh. Tujuannya adalah memberi lebih jaminan kepada golongan kapitalis monopoli terutamanya kapitalis antarabangsa, agar menyerang dan memonopoli pasaran negara kita, menekan dan mengawasi buruh serta memeras buruh dengan lebih-lebih lagi. Walaupun usaha kerajaan tersebut telah ditarikbalik “sementara waktu” atas pengaruh keadaan dalaman dan luaran negara, kaum buruh harus sentiasa berwas-was. Kaum buruh harus menghalang kerajaan daripada meluluskan dan melaksanakan akta-akta yang menghakis hak buruh. Pada masa yang sama, kaum buruh harus berusaha sehingga kerajaan menjamin kedudukan golongan buruh yang berpatutan dan hak-hak yang asas melalui perundangan. Tuntutan yang konkrit berbunyi seperti berikut:
- Menjamin Hak Penubuhan dan Hak Kegiatan Kesatuan Sekerja melalui Perundangan
Mengikut laporan seorang pelajar penyelidikan UPM, hanya 7.7 % pekerja Malaysia menyertai kesatuan sekerja pada tahun 2006. Oleh itu, kerajaan harus meminda Akta Perhubungan Industri 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 demi menjamin hak kaum buruh dalam menubuhkan kesatuan sekerja secara bebas. Selain itu, banyak kapitalis reaksioner sentiasa mempergunakan sokongan pihak pemerintah dalam menghalang kegiatan kesatuan sekerja. Oleh itu, kaum buruh harus menikmati hak kebebasan kegiatan kesatuan sekerja melalui perundangan.
- Melaksanakan Akta Gaji Minima, Menjamin Hak untuk Hidup Buruh
Tuntutan melaksanakan Akta Gaji Minima adalah untuk menjamin hak asas buruh untuk hidup. Ini akan meringankan masalah kaum buruh berpendapatan rendah yang serius di mana mereka terpaksa sentiasa bekerja lebih masa (overtime) “secara tetap” demi memperolehi pendapatan yang lebih banyak untuk menampung perbelanjaan harian yang asas. Usaha ini juga menepati harapan yang pada asalnya telah berjaya dituntut oleh gerakan buruh, iaitu hak untuk hidup secara normal – “bekerja lapan jam, berehat lapan jam, dan lapan jam sesuka hati individu”. ("Eight hours for work, eight hours for rest and eight hours for what you will." --A slogan of the Eight-hour Day movement. May 1, 1886)
- Mansuhkan Akta-akta yang Mencabuli Hak Asasi Manusia, Anti-Demokrasi dan Anti-Kebebasan
Menuntut demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan merupakan hak yang asas dan harapan bersama gerakan buruh dan juga golongan masyarakat tertindas yang lain-lain. Demi kemajuan gerakan buruh dan gerakan demokrasi rakyat yang lain untuk membangun dengan normal, akta-akta jahat yang masih dilaksanakan di negara kita buat masa sekarang seperti ISA, Akta Hasutan 1948, OSA, Akta Penerbitan dan Percetakan 1984 dan sebagainya wajar dimansuhkan tanpa syarat.
(2) Melaksanakan Dasar Ekonomi yang Mempertahankan Kepentingan Pekerja
Dalam keadaan harga barangan yang naik berterusan dan inflasi semakin meningkat, kehidupan pekerja semakin susah dan miskin. Namun, kerajaan masih memotong dan mengurangkan subsidi barangan asas seperti petrol, diesel, gas LPG dan gula pada Julai tahun 2010; berusaha mengutip lebih cukai daripada rakyat seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST); dan melaksanakan pelbagai projek seperti Empangan Bakun dan Bangunan beratus-ratus tingkat yang memanfaatkan kroni-kroni tetapi dibiayai oleh rakyat. Semua usaha dan percubaan tersebut memudaratkan lagi kehidupan rakyat berpendapatan rendah yang sememangnya sudah sangat susah. Oleh itu, pelaksanaan dasar ekonomi yang memanfaatkan kepentingan rakyat merupakan tuntutan pekerja. Tuntutan yang konkrit berbunyi seperti berikut:
- Membantah Pemotongan dan Pengurangan Subsidi Kerajaan, Membantah GST
Demi menghentikan inflasi serta-merta, kerajaan harus memansuhkan GST dan wajar mengekalkan dasar memberi subsidi terhadap barangan kehidupan harian yang asas.
- Memiliknegarakan Industri Utama yang Mempengaruhi Kehidupan Rakyat, Membantah Penswastaan
Kerajaan harus memiliknegarakan industri yang mempengaruhi kepentingan kehidupan rakyat seperti lebuhraya, bekalan air dan elektrik. Di samping itu, kerajaan harus menjadikan operasi syarikat milikan negara telus terutamanya akaun Petronas. Kerajaan harus berusaha agar dasar operasi syarikat milikan negara didominasi oleh pihak kerajaan, kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya.
- Melaksanakan Dasar “Petani Memiliki Tanah Pertanian”
Demi mempertahankan kepentingan asas golongan petani dan memajukan perkembangan industri pertanian, kerajaan harus memastikan pelaksanaan dasar agar petani memiliki tanah pertanian.
(3) Memansuhkan Sistem Kuota Bumiputera, Memansuhkan Pelbagai Dasar Diskriminasi
Selama setengah abad yang lepas, rejim UMNO yang mewakili kepentingan segelintir kaum pemerintah telah melaksanakan pelbagai dasar penindasan yang tidak sama rata dan dasar memecah-belahkan rakyat berbilang kaum. Dengan menamakan dasar pemerintah dengan slogan yang indah seperti “Satu Malaysia” atau “Model Ekonomi Baru” tidak mengubahkan ciri sebenar rejim tersebut. Akibat daripada dasar-dasar rejim UMNO yang mengabaikan kepentingan rakyat jelata adalah daya persaingan negara merosot, kehilangan pakar atau orang berkaliber ke luar negeri dan melahirkan rejim korupsi yang sekadar merosakkan hubungan harmoni antara kaum. Tuntutan yang konkrit berbunyi seperti berikut:
- Memansuhkan Sistem Kuota Bumiputera, Melayan Pelbagai Kaum dengan Sama Rata
Demi merealisasikan hubungan harmoni antara kaum yang sebenar dan meningkatkan daya persaingan negara, kerajaan harus memansuhkan Sistem Kuota Bumiputera, dan diganti dengan dasar yang melayan pebagai kaum dengan sama rata.
- Memansuhkan Pelbagai Dasar Diskriminasi, Melaksanakan Dasar Affirmative Action dengan Sama Rata
Semua dasar diskriminasi yang wujud dalam sistem pengambilan dan penaikan pangkat kakitangan awam, pemberian insentif terhadap pembangunan industri kecil dan sederhana (SME), peraturan tempat pekerjaan dan bidang sebagainya harus dimansuhkan. Kerajaan harus melayan secara sama rata terhadap semua kaum, agama dan kepercayaan, jantina dan lain-lain. Di samping itu, kerajaan harus membela golongan yang lemah dan terpinggir dengan sama rata terutamanya kaum India dan pelbagai kaum minoriti yang berkedudukan lemah dalam bidang politik dan ekonomi.
Berbagai-bagai program Hari Pekerja Mei Satu ceria meriah yang diadakan oleh kaum pemerintah tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa kepentingan dan hak pekerja ditindas, terutamanya kepahitan yang dialami oleh kaum India. Dua puluh tahun kebelakangan ini, hanya kaum pekerja India yang meneruskan tradisi Hari Pekerja Sedunia Mei Satu. Mereka menyambut hari mulia yang dimiliki oleh rakyat tertindas ini dengan bentuk perhimpunan besar dan demonstrasi. Rakyat berbilang kaum di negara kita seharusnya mengerti dan memuji semangat mereka yang meneruskan perjuangan perpaduan kelas buruh yang mengagumkan.
Demi membalas serangan dasar kaum pemerintah yang menindas pekerja dengan berkesan, gerakan buruh harus membangun di bawah pimpinan pertubuhan perwakilan yang betul-betul mempertahankan kepentingan kaum buruh dan pucuk pemimpin pertubuhan tersebut yang berkaliber. Pekerja berbilang kaum harus bersatu dari perpecahan, membuangkan khayalan terhadap pemerintah dan berjuang dengan tegas sekali. Hanya dengan cara tersebut, taktik “pecah dan perintah” yang sudah biasa diguna oleh kaum pemerintah dapat ditumpaskan. Dengan itu, perjuangan demokrasi rakyat dapat berkembang dan akhirnya menguburkan kaum pemerintah yang menindas dan memeras rakyat dengan zalim.
0 comments:
Post a Comment